YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan beberapa Raja-Raja di negeri masing-masing sudah sekian lama bertitah melarang para agamawan menggunakan masjid dan surau untuk menyebar ceramah politik.
Raja Kelantan, Selangor, Perlis, Perak, antara kerajaan negeri yang lantang melarang rakyatnya menjadikan masjid atau surau sebagai tempat untuk mencerca sesama umat, bertelingkah dan gelanggang politik.
Sebaliknya, mereka sentiasa berpesan agar sebuah institusi ibadah seharusnya kekal sebagai pusat menyebarkan kebaikan, pusat kegiatan umat Islam, malah sebagai lilin yang menyinari masyarakat setempat.
Johor sebelum ini menguatkuasakan larangan tokoh dan pemimpin daripada mana-mana parti politik mengadakan sebarang kegiatan politik di dalam masjid dan surau di seluruh negeri Johor, serta-merta pada Februari 2022.
Perkara ini setiap tahun telah diperingatkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menegaskan kesucian dan ketinggian martabat mana-mana masjid dan surau di negeri ini perlu dikekalkan tanpa dicemari dengan apa jua program atau aktiviti berkaitan penyampaian ideologi politik.
Bagaimanapun, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), pada Rabu lalu sekali lagi menitahkan larangan penggunaan masjid dan surau di negeri ini untuk menyebar soal politik.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, titah baginda itu selaras dengan Seksyen 96 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.
Katanya, MAINJ memberi amaran dan melarang sekeras-kerasnya mana-mana individu atau ahli politik supaya tidak menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran atau perbincangan hal ehwal politik.
“Ingin ditegaskan bahawa penganjuran program berbaur politik di dalam masjid tidak boleh dilaksanakan sama sekali dan mana-mana pihak yang membenarkan pelaksanaan program berunsur politik juga akan diambil tindakan.
“Sebarang aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, perkongsian ilmu agama atau lain-lain perlulah mendapat tauliah kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Penceramah atau tenaga pengajar yang menyampaikan ceramah dan perkongsian ilmu juga perlu mendapat pentauliahan dan pengiktirafan rasmi oleh MAINJ terlebih dahulu.
“Keputusan kelulusan daripada MAINJ menjadi keutamaan dan penekanan berhubung isu larangan berpolitik di dalam masjid perlu diberikan perhatian serius,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Rabu selepas Mesyuarat Khas MAINJ di Bukit Timbalan di sini.
Mohd Fared berkata, titah arahan larangan itu akan ditampal di 850 masjid dan 2,000 surau seluruh Johor dengan kadar segera.
Katanya MAINJ juga akan mengadakan pertemuan dengan pengerusi masjid, surau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua setiap parti politik di negeri ini.
“Selain tempat solat, masjid juga berfungsi sebagai satu medan perkembangan dakwah dan penyebaran ilmu melalui program syarahan atau ceramah agama oleh pensyarah atau penceramah yang bertauliah.
“Ia menjadi tempat berkumpul bagi orang Islam untuk mengadakan majlis keagamaan, mesyuarat dan kegiatan yang berkaitan, menjurus kepada kesatuan silaturahim sesama umat Islam.
“Bagaimanapun, masjid dan surau kini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang tidak sensitif apabila program keagamaan dicampuradukkan kandungannya dengan unsur politik sehingga menyebabkan salah faham dan perpecahan dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Dalam situasi lain, katanya, ada juga yang berselindung di sebalik program keagamaan dengan menggunakan pentas ceramah, kuliah atau syarahan di masjid untuk menyelitkan unsur-unsur fitnah dan menyebarkan fahaman politik tertentu.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah termasuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid hanya kerana berlainan fahaman politik.
Muhyiddin dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, pihak berwajib tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam.
Persoalannya, adakah selama ini Muhyiddin menyebarkan doktrin membenarkan ceramah politik di masjid dan surau, yang sekali gus bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja?
Mungkin ramai sudah lupa, mantan Perdana Menteri Malaysia kelapan itu sebelum ini menunjukkan sikap biadap dan derhaka terhadap Agong.
Agong menzahirkan rasa amat dukacita, dan memaklumkan kerajaan ketika itu telah membatalkan semua ordinan darurat sedangkan belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka, tindakan itu bertentangan dengan perlembagaan negara dan dilihat tidak menghormati institusi Raja Berpelembagaan.
Selepas sesi menghadap Agong pada 22 November, Muhyiddin juga dengan “angkuh”nya menolak cadangan Seri Paduka menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
*Tulisan di atas adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI