HomeHiburanRasa nak berhenti jadi pelakon untuk jadi pegawai Maritim - Julia Farhana

Rasa nak berhenti jadi pelakon untuk jadi pegawai Maritim – Julia Farhana

SHAH ALAM: Pelakon watak utama filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Julia Farhana merasakan dia mahu sahaja berhenti menjadi pelakon untuk menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Julia ketika dalam sidang media pelancaran lagu OST filem tersebut, ‘Yes Sir’ di Stesen Udara Maritim Subang pada Selasa, berkongsikan perasaanya sepanjang tempoh penggambaran berjalan.

Bagi menjayakan watak sebagai Leftenan (M) Melati dalam filem itu, Julia serta Saharul Ridzwan yang turut memegang watak utama filem iaitu Leftenan (M) Hafiz, telah menerima latihan secara terus daripada pihak APMM.

“Bagi Julia, saya rasa, bila dalam set, saya sangat bersedia sebab sebelum melakukan penggambaran, APMM mengambil inisiatif untuk memberikan training.

“Kita sebagai pelakon, saya rasa apa yang kita training sebenarnya hanyalah 10 peratus daripada apa yang APMM buat dan itu sahaja sudah membuatkan Ju rasa memang mencabar menjadi seorang pegawai APMM.

“Tetapi ia juga memberi Ju kemudahan untuk belajar dan praktikkan sampaikan cara dia berjalan dan bercakap mengikut budaya APMM.

“Kita punya training bermula dari jam 6 pagi, selepas solat Subuh, kita semua akan pergi membuat fitness, kemudian kita ada latihan kombat sehinggalah jam 11 malam kita ada kursus menyelam.

“Semua itu membuatkan Ju rasa lebih bersedia sebagai seorang pegawai APMM,” ujarnya kepada pihak media.

Menurut Julia, mereka yang berlakon sebagai pegawai APMM menerima latihan selama sebulan serta latihan harian setiap hari di set penggambaran.

“Kita buat abseiling, saya ingat lagi Saharul kata lady’s first, tetapi sudah tentulah Saharul pergi dulu.

“Ianya adalah latihan abseiling yang sebenar tetapi safety measures yang lebih daripada pegawai APMM yang sebenar, jadi kita sebagai pelakon rasa selesa dan yakin untuk membuat training.

“Saya rasa kami juga dapat belajar macam mana nak pegang senjata, sehingga ke hari ini saya tak akan lupa macam mana nak pegang senjata dengan betul.

“Saya rasa saya sangat terkesan dengan training, bila datang balik training hati rasa berdebar-debar, sangat, masa training itu lah Ju rasa macam nak berhenti jadi pelakon untuk sertai jadi pegawai APMM,” luahnya teruja.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang dibintangi Saharul Ridzwan dan Julia Farhana itu merupakan filem arahan Pitt Hanif serta terbitan terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production yang akan ditayangkan di pawagam pada 2 Februari nanti.

Author

Pilihan Editor