PASUKAN yang kaya dengan sejarah, Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mencipta satu lagi sejarah baharu apabila menjadi pasukan bola sepak pertama di Malaysia yang mempunyai skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
Majlis pengumuman pasukan Yoodo Red Giants itu disaksikan oleh pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Majlis ini turut dihadiri oleh Exco Sukan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman; Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi; Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa; Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun; Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MPL Malaysia, Fikri Rizal Mahruddin serta Pengarah Urusan Protech, Datuk Ronnie Chong di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam.
Yoodo Red Giants akan diwakalili oleh Muhammad Yaacob lebih dikenali sebagai ESHA OHANA, Mohd Hakim atau KAIZER, Syed Naufal Fitri atau SYF , Ilman Zareef atau GOJES, Muhammad Amir Zakwan atau ZAKQT dan Muhammad Haqqulah atau SEKYS.
Manakala Mohd Erwin atau lebih dikenali sebagai Rush mengambil peranan sebagai pengurus pasukan. Nama Rush ini tidak asing bagi para pemain atau peminat MLBB di Malaysia. Mereka ini akan menggalas cabaran pasukan Yoodo Red Giants yang akan bertanding dalam kejohanan MPL Malaysia yang dijangka bermula pada Februari tahun ini.
Dengan besar hati kami memperkenalkan kepada anda para pemain dan pengurus pasukan rasmi bagi Yoodo Red Giants.
Pasukan ini diperkuatkan dengan pemain yang mempunyai kemahiran individu tersendiri disamping pencapaian yang memberangsangkan dalam dunia kompetitif MLBB.
[1/2] pic.twitter.com/QIjowpeCuF
— Selangor FC (@selangorfc) January 19, 2023
Menurut Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun, pihaknya amat berbangga untuk bekerjasama dengan Selangor FC untuk pasukan baharu, Yoodo Red Giants.
Katanya, sejak ditubuhkan, Yoodo sentiasa menyokong arena e-sukan tempatan dan ini merupakan satu lagi bukti sokongan berterusan mereka terhadap pembangunan industri ini.
“Selamat maju jaya diucapkan kepada Yoodo Red Giants dan kami berharap pasukan ini akan meraih kejayaan dan sekaligus membanggakan Malaysia,” katanya.
Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah sempat menzahirkan sepatah dua kata selepas menandatangani perjanjian pada Khamis.
“Kami ingin mengucapkan selamat datang kepada pemain-pemain Mobile Legends ini sebagai keluarga baru Gergasi Merah dan selamat maju jaya buat mereka yang akan mewakili Yoodo Red Giants selain menjadi teladan atau contoh yang baik kepada rakan-rakan mereka serta para peminat,” titah Baginda.