HomeHiburanSukar adil dalam poligami, jagalah isteri yang satu - Edika Yusof

Sukar adil dalam poligami, jagalah isteri yang satu – Edika Yusof

KUALA LUMPUR: Di sebalik kisah kesetiaan Edika Yusof terhadap isterinya yang lumpuh menjadi bualan netizen, ada pengalaman besar yang menjadikannya seorang lelaki yang luar biasa hebat seperti hari ini.

Pengalaman melihat perit jerih ibunya membesarkan anak-anak selepas diceraikan membuatkan pelakon itu mengambilnya sebagai iktibar untuk terus mempertahankan kebahagiaan rumah tangganya.

Pelakon berusia 55 tahun itu faham perasaan seorang isteri yang terpaksa berkongsi kasih dan berusaha untuk terus memberikan kebahagiaan kepada isteri, Nor Hidayah Yusri dan tiga anaknya.

“Bapa saya berkahwin lebih daripada satu dan ada juga saudara lelaki terdekat melakukan perkara sama.

“Apa yang saya lihat, bukan mudah bagi seorang suami yang berkahwin lebih daripada satu untuk memberikan keadilan menyeluruh kepada isteri dan anak-anak mereka.

“Saya melihat bagaimana sukarnya ibu membesarkan kami adik-beradik selepas diceraikan bapa.

“Sukar untuk saya ulas tentang perkara ini kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Tetapi, apa yang boleh saya katakan jagalah isteri yang satu dengan baik.

“Letakkan diri kita dalam situasi, hati dan perasaan mereka. Sekiranya seseorang lelaki itu ditakdirkan berkahwin dua, mereka kena betul-betul berlaku adil,” katanya yang ditemui media selepas sesi pratonton drama bersiri, Projek High Council, semalam.

Pelakon Maria Mariana ini meluahkan rasa bimbang apabila ada pihak yang datang dan meminta pandangannya berkenaan isu rumah tangga pengarah, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana yang sedang tular.

“Saya bukan malaikat, hanya seorang suami yang mahu menjaga isteri dan anak-anak dengan baik.

“Sebagai suami, memang terasa tempiasnya apabila kisah begini diperkatakan ramai. Saya kena berhati-hati, pastikan hanya keluar dengan kawan-kawan lelaki bagi mengelakkan fitnah.

“Apa yang saya buat adalah untuk keluarga, bukan untuk orang lain,” katanya lagi.

Disoal tentang rahsia keharmonian rumah tangga, kata Edika, pasangan suami isteri perlu saling memahami dan jujur antara satu sama lain.

“Kami sama seperti pasangan lain, ada masa berselisih faham dan menyebut perkataan yang kami sendiri tidak suka ketika bergaduh. Tetapi, apa yang kami buat adalah berbincang dan cuba mencari penyelasaian kepada masalah yang timbul.

“Saya tidak mahu kongsi hal rumah tangga di media sosial. Perkara itu terlalu sensitif dan yang menanggung kesannya adalah anak-anak kerana mereka menjadikan ibu dan bapa sebagai contoh,” jelasnya.

 

Author

Pilihan Editor