HomeHiburanSyamsul enggan lepas? Masih ada cara Puteri Sarah tuntut cerai

Syamsul enggan lepas? Masih ada cara Puteri Sarah tuntut cerai

KUALA LUMPUR: Jika pengarah kontroversi, Syamsul Yusof enggan melepaskan isterinya, Puteri Sarah Liyana masih ada beberapa pilihan ikut peruntukan undang-undang syariah yang boleh digunakan bagi menuntut cerai daripada suami.

Peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, proses tuntutan cerai boleh diteruskan biarpun Syamsul enggan melepaskan plaintif pada hari sebutan kes terbabit pada 7 Mac depan.

Mengikut prosedur, jika defendan (Syamsul) hadir pada hari itu (7 Mac depan) dan setuju untuk lafazkan cerai, perceraian antara mereka boleh berlaku.

“Tetapi jika defendan tidak setuju, kami akan usahakan ke peringkat kedua di mahkamah yang sama di mana kes mereka dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).

“Pada peringkat ini, wakil kedua-dua pihak akan cuba mencari jalan. Kalau berjaya, kita akan teruskan perceraian. Jika gagal, kita rujuk pula kepada hakam keluarga.

“Jika masih gagal, kita beralih pula kepada hakam mahkamah di mana dalam kes di mana defendan masih enggan (lepaskan), kuasa untuk melafazkan cerai diberi kepada mahkamah yang mewakili plaintif,” katanya dalam satu kenyataan.

Akberdin berkata, pihaknya akan menggunakan saluran undang-undang yang diperuntukkan jika Syamsul sebagai defendan, enggan menceraikan Puteri Sarah.

Pada Isnin, Puteri Sarah yang ditemani dua adiknya iaitu Puteri Sofia Nadira dan Megat Imran Ikram serta Akberdin, memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini.

Permohonan terbabit difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Sebelum ini, tahap kemarahan dan kekecewaan Puteri Sarah susulan pendedahan Syamsul yang sudah menikahi pelakon, Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu, bagai sampai ke kemuncak apabila dia secara terbuka meminta suami melepaskannya.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Puteri Sarah yang membintangi drama bersiri Aku Seorang Perempuan, mendedahkan tujuan meminta cerai kerana tidak sanggup hidup bermadu.

Ketika ditemuramah BH Online, Puteri Sarah menegaskan dia tidak akan menarik balik keputusan berpisah walaupun Syamsul memujuknya.

Konflik rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, namun, anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Susulan pengakuan Syamsul, topik berkaitan kemelut rumah tangganya dan kehadiran Ira sebagai isteri kedua hangat diperkatakan sehingga ‘trending’ dalam media sosial.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam yang berusia lima tahun dan dan Summayah, tiga tahun.

Sebelum ini, BH Online melaporkan, mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam, sesuatu perceraian tidak boleh berlaku jika suami enggan melafazkan talak tetapi penambahbaikkan yang dilakukan kini membolehkan isteri membuat permohonan bercerai secara hakam.

Melalui kaedah ini, jika suami masih enggan melafazkan talak, hakam akan dilantik bagi mengambil kuasa melafaz talak suami dan seterusnya melafazkan cerai jika alasan yang dinyatakan isteri wajar dan munasabah mengikut peruntukan undang-undang.

Berbanding fasakh yang perlu melalui perbicaraan secara terbuka, proses hakam hanya membabitkan perbincangan di peringkat pertama melalui JKP, iaitu suami dan isteri boleh melantik wakil daripada ahli keluarga atau sesiapa mengetahui masalah dihadapi pasangan melalui proses perbicaraan.

 

Author

Pilihan Editor