HomeHiburanTerdiam Puteri Sarah, anak sulung tanya 'betul ke ayah kahwin lain?'

Terdiam Puteri Sarah, anak sulung tanya ‘betul ke ayah kahwin lain?’

CYBERJAYA: Terkedu pelakon, Puteri Sarah apabila anak sulungnya, Syaikhul Islam mengajukan soalan berhubung status terbaharu ayahnya yang juga seorang pengarah filem terkemuka, Syamsul Yusof yang sudah berkahwin lain.

Perkara itu dikongsikan Puteri Sarah dalam satu hantaran Instagram Story miliknya baru-baru ini.

Malah, anaknya yang kini berusia enam tahun itu turut bertanya jika perkara berkenaan merupakan punca utama yang membuatkan ayahnya sudah lama tidak pulang ke rumah.

“Baru balik daripada ‘photoshoot‘. Sampai-sampai rumah, Syaikhul tanya saya, ‘mama, betul ke ayah kahwin lain? Sebab itu ke ayah dah lama tak balik rumah? Kenapa ayah ada orang lain?’

“Macam mana awak nak jawab kepada anak seumur enam tahun ini? Saya terdiam,” tulisnya dalam hantaran itu.

Puteri Sarah dalam hantaran sama turut memberikan pesanan kepada lelaki-lelaki di luar sana yang ingin berkahwin lagi sehingga sanggup membelakangi isteri mereka.

“Jadi kepada lelaki-lelaki pentingkan diri di luar sana itu, isteri nak jawab apa dekat anak-anak kecil ini? Nak kata, ‘ayah kahwin sebab nak elak maksiat. Ayah ikut suruhan Allah’, seperti cara awak menjawab dalam video itu?

“Tak pernah ke terlintas dalam fikiran awak yang satu hari nanti nak kena jawab dekat anak? Tak! Hang cuma pikiaq nafsu hang, ikut kepala hotak hang sahaja.

“Ada terpikir tak kahwin lari dekat Siam itu nanti anak tanya nak jawab apa? Lelaki-lelaki dekat luar sana, sebelum nak perjuangkan konon poligami itu sunnah, belajar balik agama Islam ya. Dan fikir apa kesannya,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Puteri Sarah telah memfailkan perceraiannya dengan Syamsul pada 16 Januari lalu, dan tarikh sebutan kes permohonan cerai itu akan berlangsung pada 7 Mac nanti di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Rumah tangga mereka yang didirikan pada 8 Mac 2014 itu dilaporkan mula goyah dengan kemunculan orang ketiga, Ira Kazar sejak empat tahun lalu.

Syamsul yang sebelum ini tidak pernah membuka mulut mengenai topik itu akhirnya mengaku sudah bernikah dengan Ira di Thailand sehingga menjadikan topik itu hangat diperkatakan di media sosial.

Author

Pilihan Editor