KUALA LUMPUR: Ramai yang masih keliru autisme dan disklesia.
Autisme adalah masalah lebih rumit melibatkan komunikasi dan tingkah laku manakala disleksia adalah masalah pembelajaran sahaja.
Disleksia ada tiga jenis iaitu disleksia visual (penglihatan), auditori (pendengaran) dan visual-auditori atas faktor keturunan atau genetik yang biasanya sukar dalam satu atau lebih kemahiran pembelajaran seperti menulis, mengeja dan mengira.
Seorang doktor yang juga anak tempatan daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) disleksia, di Pulau Pinang berjaya menamatkan bidang kedoktoran hanya dengan mengubah kaedah pembelajaran.
Kaedah yang digunakan doktor itu adalah memperbanyakkan pembelajaran secara auditori dalam bidang yang diminati kerana kekurangannya dari aspek membaca dan mengira.
Mengambil inspirasi doktor berkenaan, anak muda yang juga penghidap Disleksia, Amer Adham Kamaruddin, 22, menyarankan Kementerian Pendidikan supaya prihatin dengan masalah pengajaran dan pembelajaran (PnP) bagi golongan sepertinya.
Amer Adham yang kini pengusaha Dyslexia Cafe berkata, silibus pendidikan khas sewajarnya perlu diubah lebih praktikal sesuai dengan potensi dan keupayaan masing-masing bagi golongan itu.
“Modul dan kaedah pendidikan sedia ada ketika ini tidak sesuai dengan keupayaan golongan disleksia.
“Walaupun disleksia lambat dalam pembelajaran seperti menulis, mengeja dan mengira tetapi mereka mempunyai kemahiran berfikir yang normal dan unik, tidak patut dilabel sebagai cacat atau lembam, atau tidak pandai.
“Sekurang-kurangnya enam subjek asas sahaja yang perlu diutamakan kerana disklesua tidak mampu menguasai subjek tambahan lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai minat.
“Disleksia juga cenderung dalam bidang seni seperti saya, minat seni kulinari. Ada juga yang dah berjaya seperti doktor yang disebut tadi, pelakon Hollywood Tom Cruise, penyanyi rap Malaysia Altimet,” katanya.
Amer Adham yang mempunyai pekerja yang juga rakan senasib dengannya, Abdul Qhaliq Al-Azfari Muhammad Azharuddin, juga minat kemahiran seni kulinari.
Mereka berpendapat, perlu wujud kelas khas untuk pelajar disklesia di sekolah sama, supaya dapat membantu golongan ini menerima pendidikan dan bercampur gaul seiring dengan pelajar normal lain.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2013, disleksia adalah masalah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang selaras atau melebihi murid biasa tetapi menghadapi kesukaran yang tinggi dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengeja. Disleksia tidak dianggap sebagai satu penyakit tetapi memerlukan program pendidikan yang bersesuaian agar masalah ini dapat dikurangkan.
MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, Amer Adham bersama adiknya, Amer Aiman mengusahakan Dyslexia Kafe menyajikan hidangan makanan barat, Asia, pastri dan kopi di Bandar Baru Bangi, mula tular sejak November lalu sejak beroperasi.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut kelihatan singgah menikmati makanan di kafe berkenaan, baru-baru ini.