HomeBeritaUndang-undang negara lemah, punca 50 peratus rakyat poligami

Undang-undang negara lemah, punca 50 peratus rakyat poligami

PETALING JAYA : Pendedahan Majlis Agama Islam Narathiwat yang menyaksikan sejumlah 50 peratus rakyat Malaysia melintas sempadan bagi tujuan poligami tanpa kebenaran melibatkan lelaki berstatus ‘Datuk’, menunjukkan hukuman undang-undang negara dianggap lemah.

Bukan sahaja memandang ringan undang-undang negara, malah penetapan denda yang pernah disabitkan kepada mana-mana individu yang melanggar enakmen negeri seolah-olah tidak memberi keinsafan kepada masyarakat, sebaliknya masih berlaku perlanggaran melalui sindiket nikah di sempadan.

Seorang ‘ejen nikah sempadan’ membuat pendedahan bahawa permintaan untuk bernikah di Thailand meningkat dua kali ganda pada tahun lalu.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT), Wan Abd Malik Wan Sidek, yang mendakwa walaupun hukuman mengikut Enakmen Undang-Undang Agama Islam Negeri Terengganu 2017, dinaikkan, masih terdapat sebilangan rakyat negeri itu melangsungkan pernikahan di Thailand.

Wan Abd Malik dilaporkan berkata, data menunjukkan rakyat Terengganu yang berkahwin tanpa kebenaran di negara jiran semakin meningkat dengan majoriti membabitkan golongan muda dan lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Terengganu menetapkan pasangan lelaki boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM11,000 dan enam tahun penjara, bagi kes pernikahan di Thailand dan jika didapati bersalah.

Bagi pensyarah kanan undang-undang, Noraini Md Hashim, peningkatan senario nikah poligami di Thailand menggambarkan pihak lelaki Malaysia hanya mahu mengambil jalan pintas memandangkan hukuman ringan.

Katanya, pasangan yang bernikah di sana dengan tujuan poligami hanya mementingkan ‘sah di sisi agama’ sahaja, kerana sudah tahu selok-belok prosedur dengan memastikan perkahwinan memenuhi hukum syarak.

“Pasangan-pasangan yang bermasalah ini memang telah membuat ‘homework’ di mana mereka tahu dan pastikan perkahwinan memenuhi hukum syarak,” katanya yang dipetik FMT.

Pakar undang-undang keluarga Islam dan sivil di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, akad nikah akan dilaksanakan oleh pihak yang mendapat pengiktirafan dari pihak Majlis Agama Islam Narathiwat, Patani, Satun, Songkhla dan Yala di Thailand.

“Tetapi hanya perlu mendaftar semula perkahwinan mereka dengan pihak berwajib apabila pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pasangan yang bernikah di Thailand dapat mengurangkan belanja seperti bertunang, hantaran mahar, dan kenduri kahwin.

Noraini menjelaskan permohonan poligami di Malaysia pula perlu mendapatkan izin hakim syariah, yang membuat keputusan selepas mempertimbangkan alasan, pendapatan, dan tanggungan semasa si pemohon, termasuk kemampuannya untuk beristeri baharu.

Katanya, mahkamah juga perlu memastikan si pemohon berupaya memberi layanan adil kepada pasangannya, bagi melindungi hak isteri atau isteri-isteri sedia ada.

“Sekiranya isteri atau isteri-isteri sedia ada terkilan atau tidak puas hati dengan apa-apa keputusan mahkamah, (mereka) boleh merayu,” katanya.

Noraini berkata, pasangan yang ingin berkahwin di Malaysia perlu mengikut syarat tertentu, seperti kursus perkahwinan, saringan HIV, dan mendapatkan izin pendaftar perkahwinan, atau merujuk hakim syariah sekiranya tiada wali nasab atau melibatkan pasangan bawah umur; dan membuktikan perceraian atau kematian jika melibatkan janda atau balu.

Wali nasab adalah orang yang memiliki kuasa untuk mengakad nikah perempuan daripada keturunannya berasaskan pertalian darah yang sah.

“Semua ini dianggap beban dan menyusahkan…maka, perkahwinan luar sempadan adalah penyelesaian terbaik bagi golongan ini,” katanya.

Justeru, Noraini menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan tambahan kepada pasangan yang bernikah di Thailand.

Persoalannya, jika tindakan denda dan hukuman sudah dinaikkan masih tidak memberi kesan kerana kebanyakan golongan ini dipercayai berstatus kayangan yang mampu membayar sejumlah angka, apakah kewajaran lebih berkesan selain dipenjara?

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri masing-masing ada mengenakan hukuman penjara, sebagai alternatif hukuman selain denda, jika sabit kesalahan.

Sewajarnya, hukuman penjara boleh dilaksanakan dan tidak hanya wayang di atas kertas semata-mata kerana dipercayai isu ini tidak akan berkesudahan jika tiada noktah penyelesaian.

Anehnya, berdasarkan carian Google, kata kunci ‘nikah thailand’, ada banyak promosi pakej nikah di Thailand, yang seolah-olah tidak diambil perhatian khusus oleh pihak berkuasa di sini.

Malah, sebilangan dari pihak mereka turut menawarkan sijil nikah di sana dengan mendapat pengesahan pejabat konsulat Malaysia.

Author

Pilihan Editor