ANKARA: Pasukan penyelamat pada Isnin meneruskan usaha mencari empat orang yang masih hilang selepas sebuah pesawat yang membawa 68 penumpang dan empat anak kapal terhempas berhampiran bandar Pokhara di tengah Nepal, dalam apa yang dikatakan sebagai nahas paling buruk di negara itu dalam tempoh lebih 30 tahun.
Krishna Bhandari, jurucakap tentera Nepal, memberitahu Agensi Anadolu pasukan penyelamat masih belum menemui mangsa yang terselamat di lokasi nahas.
“Empat lagi individu masih hilang,” katanya sambil menambah operasi mencari dihentikan pada malam Ahad berikutan keadaan gelap.
“Ada banyak sebab pesawat terhempas dan ia mengambil masa untuk mengetahui puncanya. Apa yang kita boleh lihat, pesawat terhempas kerana berlaku ketidakseimbangan,” kata pegawai lapangan terbang dalam taklimat kepada Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal Prachanda, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan selepas kejadian itu, menurut media tempatan.
Berdasarkan taklimat itu, juruterbang dikatakan menghala pesawat ke gaung untuk mengelakkan penempatan di situ.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal (CAAN) berkata penumpang terlibat termasuk 53 rakyat Nepal, lima India, empat Rusia, dua Korea, masing-masing seorang warga Ireland, Australia, Argentina dan Perancis,
Kerajaan membentuk jawatankuasa lima anggota bagi menyiasat nahas pesawat dan mengarahkan laporan disediakan dalam tempoh 45 hari, menurut jurucakap kerajaan dan Menteri Kewangan Bishnu Prasad Paudel.
Beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan pemeriksaan teknikal ke atas semua pesawat domestik, dan kerajaan akan melaksanakan laporan oleh panel penyiasatan bagi mengelak nahas pada masa depan.
Tahun lepas, 22 orang terbunuh apabila pesawat peribadi yang dikendalikan oleh Tara Air Nepal terhempas sejurus berlepas dari Pokhara. – BERNAMA