KUCHING: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditungganginya melanggar tiang telekomunikasi yang tumbang ekoran kabelnya tersangkut dan diheret sebuah lori simen di Kota Samarahan di sini, kira-kira 3 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 3.15 petang dan mangsa, Thian Joon Jee, 74, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah lori telah terlekat kabel telekomunikasi dan mengheret kabel tersebut beberapa meter dari lokasi asal sehingga menyebabkan beberapa tiang tumbang di tengah jalan. Dipercayai satu daripada tiang itu telah dilanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya pasukan bomba bertindak memotong kabel yang menghalang laluan kenderaan dan tiang telah dialihkan selepas mendapat kebenaran pegawai Telekom Malaysia yang berada di lokasi kejadian.
Jurucakap memaklumkan operasi dan kerja pembersihan berakhir pada 4.32 petang. – BERNAMA