HomeBeritaWarga Nigeria saman kerajaan RM4 juta kerana tahan secara salah

Warga Nigeria saman kerajaan RM4 juta kerana tahan secara salah

SHAH ALAM: Seorang bapa warga Nigeria menuntut pampasan RM4 juta berhubung penahanannya yang didakwa menyalahi undang-undang selama 40 hari, di Mahkamah Shah Alam, di sini.

Simon Adavize Momoh, 35, memfailkan writ saman di mahkamah berkenaan, tiga hari lalu, dengan menamakan Ketua Pengarah Imigresen, Ketua Pengarah Penjara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Peguam Momoh, V Vemal Arasan ketika dihubungi mengesahkan memfailkan tindakan sivil terhadap penahanan 40 hari warga Nigeria itu bermula dari 15 Mac hingga 23 April 2021.

Menurut pernyataan tuntutan saman sivil, plaintif berhujah bahawa penahanannya didakwa menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 35 Akta Imigresen 1959/63 sedangkan dia mempunyai visa yang sah.

Plaintif mendakwa Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa apabila seseorang bukan warganegara ditangkap, dia hendaklah dihadapkan ke hadapan majistret dalam tempoh 14 hari dan tidak boleh ditahan lanjut tanpa perintah majistret.

“Bagaimanapun, plaintif mengakui bahawa sepanjang tempoh penahanan/penjara yang menyalahi undang-undang itu, plaintif tidak pernah dikemukakan di hadapan majistret,” katanya.

Plaintif berhujah bahawa percubaan pihak berkuasa untuk membatalkan visanya adalah “hukuman” atas kesalahan terdahulu di bawah Akta Trafik Jalan 1987, yang sebelum ini dia telah didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada 15 Mac 2021.

Plaintif mendakwa perintah pengusirannya adalah tidak sah kerana ia bukan dibuat atas sebab kesalahan imigresen tetapi sebaliknya atas kesalahan trafiknya.

Plaintif turut berhujah bahawa penahanan itu juga tidak sah kerana pihak berkuasa tidak memaklumkan alasan penahanannya sehingga hari ke-31, iaitu pada 16 April 2021, apabila pihak berkuasa memaklumkan perkara berkenaan kepada peguamnya.

“Perkara 5(3) (Perlembagaan Persekutuan) menyatakan bahawa seseorang yang ditangkap harus dimaklumkan secepat mungkin tentang alasan penahanannya,” kata plaintif.

Menerusi tuntutan mahkamah itu, plaintif menuntut ganti rugi am RM2 juta bagi penahanan 40 hari yang tidak sah, dengan setiap hari dikira pada kadar RM50,000.

Dia turut menuntut RM1 juta untuk kesakitan, penderitaan, tekanan emosi dan keperitan mental.

Selain itu, plaintif turut menuntut ganti rugi teladan RM1 juta, ganti rugi khas RM3,925.31, faedah lima peratus ke atas ganti rugi yang diberikan oleh mahkamah yang akan dikira mulai 15 Mac 2021 sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tindakan sivil itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Februari ini.

Untuk rekod, sepanjang 10 tahun menetap di Malaysia, Momoh ditahan selama 40 hari yang dikaitkan dengan kesalahan lalu lintas pada 2021, serta percubaan pihak berkuasa untuk menghantarnya pulang dengan membatalkan visa pasangannya (pas lawatan sosial).

Dia yang berkahwin dengan perempuan rakyat Malaysia itu, sebelum ini berjaya membatalkan mendapat perintah mahkamah untuk membatalkan kedua-dua penahanan dan pengusiran berkenaan.

Pas Momoh telah diperbaharui sehingga 27 Jan 2025, dan pasportnya diperbaharui sehingga 14 Dis 2027.

Author

Pilihan Editor