HomeBeritaBencana babi di Pulau Pinang

Bencana babi di Pulau Pinang

PULAU Pinang mengisytiharkan penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) di negeri itu sebagai bencana selepas lima lagi ladang ternak babi dijangkiti penyakit itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia menjadikan keseluruhan tujuh ladang ternak babi telah dijangkiti ASF dan membabitkan 25,000 ekor haiwan di semua ladang berkenaan akan dimusnahkan secara berperingkat.

“Kerajaan negeri telah mengisytiharkan kejadian penyakit ASF di Pulau Pinang sebagai bencana setelah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengesahkan setakat ini, tujuh ladang babi komersial telah dijangkiti iaitu masing-masing lima di Seberang Perai Selatan (SPS) di sini dan dua di Seberang Perai Tengah (SPT), dekat sini.

“Pengesahan penyakit dibuat melalui ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara Bukit Tengah bermula 4 hingga 12 Januari lepas ke atas sampel babi dari ladang-ladang ternak babi di negeri ini sebelum mendapati tujuh daripadanya dijangkiti ASF,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan JPV Pulau Pinang dan wakil penternak babi di Perkampungan Valdor, di sini bagi mengetahui perkembangan terkini jangkitan ASF di ladang-ladang kawasan itu, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPV, Dr Akma Ngah Hamid.

Kon Yeow berkata, bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPV Pulau Pinang telah menjalankan stamping out policy menerusi pemusnahan babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF secara berperingkat dengan bangkainya ditanam di situ atau kawasan khas disediakan kerajaan negeri.

“Pemusnahan dijalankan menggunakan kaedah gas CO2 (berkepekatan tinggi) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan iaitu Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum bangkai-bangkai babi ditanam secara sempurna,” katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 929 ekor babi iaitu dari ladang pertama yang dikenal pasti dijangkiti ASF telah dimusnahkan dan pemusnahan akan diteruskan pada hari ini membabitkan ladang kedua iaitu 2,500 ekor babi berikutan terdapat banyak kematian babi di ladang terbabit dan dijangka memakan masa lebih kurang satu minggu untuk diselesaikan.

Menurutnya, aktiviti pemusnahan itu tidak dapat dimulakan dengan lebih awal akibat kekangan kawasan di ladang ternakan untuk dijadikan tapak pelupusan babi dan kesemua 25,000 ekor haiwan itu di tujuh ladang berkenaan akan dimusnahkan secara berperingkat serta dijangka memakan masa berminggu-minggu.

“Menurut pihak JPV Pulau Pinang, apabila seekor babi dijangkiti ASF, kesemua haiwan yang ada di ladang itu perlu dimusnahkan dan ekoran itu, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan tanah berhampiran jalan raya atau lebuh raya di negeri ini untuk menanam bangkai babi yang dimusnahkan kerana kekangan tanah di ladang ternak babi dan saya minta orang ramai tidak panik dengan situasi itu lagipun ASF tidak menjangkiti manusia,” katanya.

Author

Pilihan Editor