HomeBeritaYayasan Ragad alu-alukan bantuan korporat, tidak selektif sumbangan

Yayasan Ragad alu-alukan bantuan korporat, tidak selektif sumbangan

KAJANG: Pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia pada tahun 2020 membawa hikmah yang besar khususnya peranan dalam aktiviti kemasyarakatan dan bantuan kemanusiaan.

Pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), yayasan, korporat, agensi kerajaan, swasta dan persendirian mula dikenali masyarakat kerana muncul secara aktif sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini termasuklah Yayasan Ragad yang didaftarkan Toh Puan Datuk Patinggi Datuk Seri Utama Hajjah Raghad Kurdi Taib bagi menyalurkan sumbangan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak khasnya.

Fokus utamanya membantu aspek berkaitan pendidikan, kesihatan dan sosioekonomi yang kini memberi bantuan menyeluruh termasuk golongan barisan hadapan (frontliners), media bukan sahaja di Sarawak dan juga rakyat Sarawak di Semenanjung.

Pengarah Program dan Kempen Yayasan Ragad, Lila Ruzaini Hussain mengalu-alukan lebih banyak korporat memberi sumbangan untuk dilaksanakan oleh Yayasan Ragad.

“Sebagai contoh, sumbangan hari ini sebanyak 52,000 tudung daripada Yayasan Al Manjie untuk diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah dan sekolah.

“Kami terima semua bentuk sumbangan tanpa ada selektif sebagai contoh sebelum ini kami terima kasut Nike, coklat dan lain-lain untuk diagihkan kepada kumpulan sasaran.

“Nak bagi sampan ke, pelampung ke semua kami terima dan pastikan semua barang akan diterima rakyat.

“Bagaimanapun, cabaran kami adalah tempat penyimpanan dan logistik sumbangan yang diterima.

“Namun dengan adanya bantuan sebagaimana dari Yayasan Al Manjie hari ini yang telah menyediakan tempat penyimpanan (warehouse) dan lori-lori untuk penghantaran ia amat membantu.

“Jika tiada logisitik, atau ekosistem yang cantik dan lengkap ia agak sukar untuk bergerak.

“Contohnya kasut Nike dan coklat yang disumbangkan baru-baru ini yang tidak boleh disimpan lama dan perlu diagihkan segera,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan 52,000 unit tudung oleh Pengasas Helping Shoulder, Datuk Norma Ibrahim dan Pengasas Yayasan Al Manjie, Zuwairi Japri Almanjie kepada Yayasan Ragad.

Turut hadir menerima bantuan, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Superintendan Polis (ASP) Erda Firdayu Saroji; Pengerusi Rescue Ummah Malaysia, Kamarul Jamaluddin dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Tambahnya, usaha Pengerusi Yayasan Ragad iaitu mendapatkan bantuan dari Tentera Udara Diraja Malaysia untuk membawa sumbangan dari Semenanjung ke Sarawak amat dihargai dan melancarkan usaha ini.

“Bukan mudah ye kerja-kerja di yayasan ini, belum cerita cabaran menghantar sumbangan ke kawasan pedalaman dan terpencil di Sarawak dengan keadaan demografi yang mencabar.

“Ada naik feri, sampan dan sebagainya untuk memastikan barang dan pelaksana agihan sampai dengan selamat,” katanya.

Harapan Yayasan Ragad adalah lebih banyak penyertaan korporat untuk membantu masyarakat kerana pihaknya adalah yayasan yang dipercayai dan diyakini dalam menyalurkan segala bentuk bantuan kepada mereka memerlukan.

 

Author

Pilihan Editor