HomeBeritaMB Selangor beri bayangan PRN lepas Aidilfitri

MB Selangor beri bayangan PRN lepas Aidilfitri

KUANTAN: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari memberi bayangan bahawa pilihan raya negeri (PRN) di Selangor dijangka berlangsung selepas perayaan Aidilfitri nanti.

Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat untuk memberi laluan kepada PRN.

“Kita sedang bincang, insya Allah kita akan putuskan nanti. Setakat ini, saya boleh bayangkan bukan dalam masa terdekat.

“Maknanya selepas raya (Aidil Fitri), sebelum raya tidak ada pembubaran di Selangor,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Dua Hala antara Kerajaan Pahang dan Selangor di Wisma Sri Pahang, pada Jumaat.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor bagi menetapkan tarikh PRN untuk diadakan serentak dengan tiga negeri diterajui PAS.

Ahmad Samsuri turut mengatakan, perbincangan secara tidak rasmi ketua menteri dan menteri besar dari tiga negeri berkenaan sudah diadakan akhir tahun lalu, namun keputusan tarikh PRN masih belum dimuktamadkan.

Author

Pilihan Editor