HomeBeritaZahid mahu wujudkan suasana komuniti desa yang inklusif, maju dan mapan

Zahid mahu wujudkan suasana komuniti desa yang inklusif, maju dan mapan

PUTRAJAYA: Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua naratif, definisi, preskripsi dan deskripsi mengenai pembangunan luar bandar perlu diperhalusi.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, perkara itu adalah selaras dengan penjenamaan semula Kementerian Pembangunan Luar bandar (KPLB) kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai nafas baharu Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, beliau mahukan konsep Kemajuan Desa diperluaskan dan diberikan makna yang lebih sesuai dengan komitmen kementerian yang beliau terajui itu.

“Konsep Kemajuan Desa perlu diberikan makna yang lebih dinamik dan sesuai dengan perubahan dan arus pembangunan. Maka desa yang tradisional sebagai kawasan lingkungan yang mempunyai konotasi negatif harus dikikis sesuai dengan perubahan zaman.

“Saya berharap bagi tahun 2023, KKDW perlu mewujudkan masyarakat desa yang tidak lagi terpinggir (inklusif), komuniti desa yang maju dan mapan, supaya setiap individu dapat mencapai potensi penuh mereka dan diintegrasikan sepenuhnya dalam proses kemajuan negara.

“Masyarakat desa perlu diperkasa untuk mengambil peranan aktif dalam membentuk dan membangunkan masa depan mereka sendiri bagi membolehkan desa Malaysia memiliki akses kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan, peluang ekonomi dan infrastruktur terbaik selaras dengan matlamat pembangunan mampan.

“Sehubungan itu, kementerian akan melaksanakan pelbagai usaha pemugaran (rejuvenation) dan rekayasa sosial (social engineering) agar faedahnya dapat dinikmati oleh warga desa dengan sebaik-baiknya,” kata Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian semasa memberi ucapan Majlis Amanat Tahun Baru 2023 KKDW yang diadakan di Dewan Seri Lestari, KKDW pada Rabu pagi.

Tambahnya, KKDW akan melaksanakan Aspirasi Desa Makmur bagi memastikan pengupayaan desa secara radikal berdasarkan empat imperatif utama.

Jelasnya, imperatif ini terkandung dalam perkataan DESA itu sendiri iaitu D untuk Data dan Digital; E untuk Ekonomi dan Ehsan; S untuk Sosial dan Sahsiah; dan A untuk Akaliah dan Alam Sekitar.

“Justeru, saya mahu aspirasi ‘Desa Makmur’ dilibatkan di seluruh komuniti desa dalam penggubalan dan pelaksanaan polisi, termasuk memastikan tadbir urus terbaik dalam pentadbiran kementerian dan setiap agensi di bawahnya.

“Indeks kebahagiaan Malaysia dan dapatan-dapatan empirikal yang banyak dijalankan di peringkat nasional boleh menjadi penentu aras kejayaan usaha ini.

“Warga KKDW perlu peka dengan garis nasional berbanding garis indeks luar bandar agar kita sedar dimensi mana yang ketinggalan dan melaksanakan intervensi yang perlu dari segi perlaksanaan dasar atau program,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor