HomeBeritaViralPelanggan tak bawa wang tunai, nasib baik 'cashier' A&W ini baik hati

Pelanggan tak bawa wang tunai, nasib baik ‘cashier’ A&W ini baik hati

CYBERJAYA: Kemuliaan hati seorang juruwang daripada restoran A&W Hentian Rehat Ayer Keroh, Melaka menyentuh hati ramai netizen apabila kisahnya membantu pelanggan dalam kesulitan dikongsikan di media sosial pada Ahad lalu.

Pelanggan tersebut, Fadzil Aziz berkongsikan detik kesulitan itu melalui Facebooknya iaitu ketika dia sedang beratur menunggu giliran dalam barisan yang panjang untuk memesan makanan dan tidak mempunyai wang tunai bersamanya.

Apabila Fadzil menyedari dia tidak mempunyai wang tunai, dia cuba menghubungi isteri dan anak perempuannya yang berada di surau untuk membantunya, namun panggilan telefonnya itu tidak berjawab.

“Bila tiba giliran saya, saya bertanya kepada ‘cashier’ sama ada menerima pembayaran melalui kad debit. Malangnya tidak. Saya beritahu ‘cashier’ bahawa saya langsung tiada wang tunai di tangan.

“Untuk hubungi isteri atau anak-anak ketika itu tidak begitu sesuai kerana orang yang beratur agak ramai,” katanya dalam perkongsian Facebooknya.

Juruwang bernama Firdaus Fitri itu kemudiannya menawarkan untuk membelanja Fadzil jika dia mahu membuat pesanan untuk hidangan seorang, namun Fadzil menjelaskan dia mahu membuat pesanan untuk hidangan sembilan orang.

Juruwang itu menasihatkan Fadzil untuk membuat pesanan terlebih dahulu dan membuat bayaran selepas dia mengeluarkan wang daripada mesin ATM berdekatan.

Disebabkan jarak untuk ke mesin ATM itu yang terletak di stesen minyak Petronas yang agak jauh untuk berjalan kaki, juruwang itu menawarkan Fadzil untuk menggunakan motosikalnya selepas dia membuat pesanan.

“Selesai membuat pesanan, saya terus menuju ke pintu keluar untuk ke arah belakang restoran. Masa itu saya bertemu dengan isteri dan anak-anak bersama ibu saya. Lega. Saya lalu meminta sedikit wang tunai dan terus membuat pembayaran.

“Saya minta izin Firdaus Fitri untuk merakam foto beliau. Anak muda ini berjiwa besar, berhati mulia, baik hati dan yang penting dia ada skil pengurusan yang baik dalam menyelesaikan masalah.

“Kalau dilatih anak muda ini dia mampu menjadi seorang pengurus yang baik. Tahniah A&W Hentian Rehat Ayer Keroh kerana memiliki seorang kakitangan yang berkualiti,” ujarnya gembira.

Perkongsian Fadzil itu menyentuh hati warga maya yang tidak putus memuji sikap baik hati dan bertimbang rasa juruwang itu, sambil mendoakan kebaikan ke atasnya.

“Masha ALLAH, ayat mula-mula itu yang dia nak belanja, memang hebat didikan emak bapa dia, berhati mulia dan pemurah, semoga dia diberkati dan dimurahkan rezeki yang melimpah ruah dan di permudahan segala urusannya. Amin,” tulis pengguna Facebook, Iddah Idris.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dunia akhirat adik ini, amin, amin, amin,” tulis tulis pengguna Facebook, Fazilah Annie Osman pula.

Pengguna Facebook, Kamaruzaman Abdul Rahman juga mendoakan semoga juruwang itu diberikan rahmat Allah yang besar.

Author

Pilihan Editor