HomeBeritaPolitikZahid tuntut Najib diberi keadilan

Zahid tuntut Najib diberi keadilan

KUALA LUMPUR: UMNO mendesak mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi keadilan di mahkamah.

Presiden UMNO , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyuarakan desakan itu menyifatkan pertuduhan penyelewengan dana terhadap Najib adalah pendakwaan politik dan terpilih.

“Apabila fenomena Bossku melanda negara, kelompok kecil dalam kalangan kita terus mendendangkan suara mempertikaikan Bossku.

“Diulang-ulang isu mahkamah beliau, walaupun kita tahu ia adalah pendakwaan politik dan terpilih. Kini beliau seorang diri di sana (penjara).

“Kita menuntut supaya beliau diberikan keadilan di mahkamah. Kita menuntut supaya pengadilan yang seadil-adilnya diberikan kepada Najib,” katanya.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan fenomena Bossku adalah faktor utama kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) malah kembali diyakini rakyat, selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau turut membidas kelompok dalam parti itu yang tetap mempertikaikan Najib, di sebalik sumbangan mantan Presiden UMNO berkenaan yang berjaya memastikan BN menang tujuh pilihan raya kecil (PRK) dan dua pilihan raya negeri (PRN) selepas PRU14.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan, hukuman dan denda RM210 juta pada 23 Ogos lalu.

Mantan Perdana Menteri itu, melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonan pada 6 September 2022, meminta supaya keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.

Mahkamah Persekutuan diminta menyemak semula keputusan pada 16 Ogos 2022 yang menolak permohonannya mengemukakan bukti berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, iaitu hakim perbicaraan kes membabitkan dana SRC International.

Selasa lalu, mahkamah berkenaan menetapkan 19 Januari ini untuk mendengar permohonan terbabit, manakala dua lagi tarikh, iaitu 20 dan 26 Januari yang ditetapkan lebih awal sudah dilapangkan

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan tiga pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa.

Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun penjara terhadap Najib dan keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

Najib memohon rayuannya didengar semula oleh panel baharu hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.

Author

Pilihan Editor