HomeHiburan'Cukup-cukuplah lempar fitnah' - Bella Astillah

‘Cukup-cukuplah lempar fitnah’ – Bella Astillah

CYBERJAYA: ‘Bila kami selalu post gambar bersama orang cakap jangan menunjuk sangat, tapi bila kami tidak post cakap kami bergaduh’.

Itulah keluhan pelakon juga penyanyi, Bella Astillah yang terpalit dengan isu kontroversi berhubung suaminya, Aliff Aziz yang didakwa sekali lagi menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 29, berkata, dia dan suaminya sebelum ini memilih untuk berdiam diri dengan segala lemparan fitnah yang ditabur orang luar terhadap keluarga mereka.

Namun, tindakan segelintir pihak khususnya portal media yang dengan ‘selamba’ memutarbelitkan situasi hubungan suami isteri itu membuatkan Bella dan Aliff hampir hilang sabar.

“Kami berusaha berdiam diri tapi makin menjadi. Ramai menyarankan kami untuk ambil tindakan dan saman tapi kami ada banyak lagi perkara yang perlu diutamakan.

“Kerana dengan segala fitnah yang dilemparkan sedikit sebanyak menganggu kerja kami. Kami suami isteri sekarang sibuk mencari rezeki, membesarkan anak-anak yang sudah mula bersekolah, dan sedang menjalani rawatan.

“Minta tolong jasa baik anda semua untuk hentikan penyebaran yang tidak berasas ini. Saya sertakan dengan contoh,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.

Bella tampil mengeluarkan kenyataan sedemikian susulan tindakan sebuah tabloid yang menggunakan video lamanya untuk menimbulkan isu berhubung keretakan rumah tangganya sedangkan dia dan Aliff dalam keadaan baik sahaja.

Dalam hantaran sama, Bella yang juga merupakan peserta program realiti, Famili Duo itu menyertakan bukti fitnah yang dimaksudkan.

Foto: ig Bella Astillah

“Video di atas (disertakan) berkenaan mata saya pedih jadi terpaksa buang pelekap kanta mata dan tiba-tiba bulu mata pun tercabut. (Video ini pada tahun 2019)

“Tapi video itu diambil dan dijadikan thumbnail, diletakkan headline sebegitu dan disebarkan.

“Terakhir sekali, kami mohon jasa baik semua hentikanlah spekulasi. Kerana kami juga punya keluarga di Sabah, Singapura dan sahabat-sahabat yang sedang bekerja dan mereka sering ditanya soal ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor