NEW DELHI: Adani Enterprises milik taikun Gautam Adani pada Rabu memutuskan untuk tidak meneruskan penawaran saham bernilai AS$2.5 bilion di tengah-tengah kejatuhan nilai pasaran konglomerat itu.
Sebanyak 200 bilion rupee (kira-kira AS$2.5 bilion) Tawaran Awam Susulan (FPO) telah dilanggan pada Selasa, hari terakhir tawaran.
“Memandangkan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ketidaktentuan pasaran semasa, syarikat itu menyasarkan untuk melindungi kepentingan komuniti pelaburnya dengan memulangkan hasil FPO dan menarik balik transaksi yang telah selesai,” menurut Adani Enterprises dalam satu kenyataan pada Rabu.
FPO itu berharga dalam lingkungan 3,112 rupee hingga 3,276 rupee.
Nilai pasaran syarikat dan anak syarikat Adani Group mengalami kemerosotan sejak Hindenburg Research menuduhnya melakukan manipulasi saham dan penipuan perakaunan dalam satu laporan pada 24 Januari. Adani Group menafikan laporan berkenaan dan menyifatkan laporan itu berniat jahat.
Kedudukan taikun itu dalam senarai Forbes turut merosot ke tangga 15. Beliau sebelum ini berada di kedudukan kelapan sebagai orang terkaya di dunia. – BERNAMA