KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan harapan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah sejak memegang tampuk pemerintahan negara bermula 31 Januari 2019, baginda telah menggalas amanat berat untuk memilih dan melantik empat perdana menteri berbeza bermula dengan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.
“Beta telah bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan Malaysia bermula pada 31 Jan 2019. Sehingga ke hari ini, beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk beta lupakan.
“Terpahat dalam sejarah negara bahawa beta adalah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri bersama empat jemaah menteri yang berlainan.
“Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah baginda juga tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara mahupun mengatur percaturan landskap politik tanah air.
Namun baginda bertitah pada pengamatan Seri Paduka, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 juga akan dapat dielakkan.
“Lebih penting lagi kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya ahli-ahli yang berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu-padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini.
“Pada usia (kemerdekaan) 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang-menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah sekiranya kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, Seri Paduka khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya.
Seri Paduka turut menzahirkan pesanan kepada wakil rakyat agar menjaga nama baik dan kehormatan Parlimen serta berkhidmat setulus hati dengan sentiasa meletakkan rakyat dan masa hadapan negara dalam hati sanubari mereka.
Baginda juga mahu wakil rakyat mengetepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan kerana kestabilan landskap politik harus dijadikan ruang dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.
Al-Sultan Abdullah turut menitipkan doa agar negara dan rakyat akan terus hidup dengan penuh kerukunan atas dasar perpaduan dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah.
“Pada 30 Jan 2024 kelak, beta akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Makanya ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat beta berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen dan bertitah di dalam dewan yang mulia ini.
“Justeru izinkan beta pada kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan di atas taat setia yang telah dicurahkan kepada beta dan negara tercinta oleh semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas perkhidmatan kesihatan serta seluruh agensi kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh profesional dan berkecuali tanpa mengenal penat dan lelah.
“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat beta yang telah hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai serta terus gagah menghadapi pelbagai gelora pandemik, kemurungan ekonomi dan kemelut politik yang melanda tanah air,” titah baginda. – BERNAMA
TAG:
SBBM NAM KLS