HomeBeritaAsyraf Wajdi jumpa PM, bincang isu pengeluaran KWSP bersasar

Asyraf Wajdi jumpa PM, bincang isu pengeluaran KWSP bersasar

 

CYBERJAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki masih teguh menyuarakan suara rakyat kepada pemimpin atasan berhubung tanggungan beban kewangan yang dialami rakyat khususnya menjelang musim persekolahan baharu.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau memaklumkan sudah bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyentuh perihal kegusaran rakyat yang sebilangannya berharap pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dilaksanakan sekali lagi.

“Ya walaupun ada yang sinis bahkan memerli dengan mempertikaikan perjuangan kami waktu kerajaan terdahulu agar dibenarkan pengeluaran KWSP buat ‘kali terakhir’ sehinggakan kerajaan waktu itu akur dengan tekanan rakyat.

“Namun pada kali ini, pandangan peribadi saya mungkin tidak perlu pengeluaran besar-besaran secara pukal. Memadai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja dan bersasar,” tulisnya pada Rabu.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa kegusaran rakyat akan diatasi sebaik mungkin kerana sebelum ini, kerajaan ada mengumumkan akan menyalurkan bantuan tunai sebelum menjelangnya penggal persekolahan baharu.

Mengulas berhubung jawatannya selaku Ketua Pemuda UMNO, Asyraf menyatakan bahawa beliau akan terus cakna dengan suara rakyat meskipun jawatan itu tidak lagi disandang oleh dirinya.

“InsyaAllah walaupun saya tidak lagi memegang jawatan selaku Ketua Pemuda UMNO selepas ini, dari semasa ke semasa perjuangan menyuarakan suara hati rakyat tetap diteruskan.

“InsyaAllah barisan kepimpinan Pemuda yang baharu juga akan tetap menjadi #PemudaJurubicaraRakyat,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor