HomeHiburanCat Farish mengaku dah cerai talak satu

Cat Farish mengaku dah cerai talak satu

CYBERJAYA: Penyanyi, Cat Farish mengakui sudah menceraikan isterinya, Suriani Hassan dengan talak satu.

Pendedahan itu dibuat susulan timbul dakwaan yang mengatakan dia menceraikan Suriani dengan talak tiga dalam satu masa tanpa sebab pada Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Cat berkata dia dan Suriani bercerai di Mahkamah Syariah Senawang, Negeri Sembilan pada 16 Januari lalu.

“Sebenarnya hubungan kami ada beberapa masalah peribadi cuma apabila cerita itu bertukar tangan, ia jadi lain.

“Bercerai memang cerai, tetapi talak satu sahaja bukan tiga. Saya pun tidak mahu buka aib sesiapa sebab perceraian itu pun bermulanya daripada lelaki.

“Masalah dalaman memang semua ada tetapi kami tidak dapat nak kawal. Hal ini ada kaitannya dengan anak-anak dan keluarga juga,” katanya seperti dilapor mStar pada Rabu.

Tambahnya, dia dan Suriani tidak ada ruang untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga yang sudah berlarutan lama susulan Suriani bertindak keluar dari rumah dan tinggal dengan ibu bapanya.

“Apa yang boleh saya katakan, perkahwinan ini tidak sempurna, jadi jalan yang paling selamat adalah untuk kami berpisah. Nak berbincang pun tak dapat sebab awal-awal lagi dia dah keluar daripada rumah saya.

“Saya berdiam diri kerana saya tahu emosi orang ini tak boleh lawan dengan ‘api’. Kalau saya sama-sama juga melagakan api itu, nanti akan jadi lebih teruk,” jelasnya.

Cat turut mengakui, dua kali gagal dalam perkahwinan kerana dia terlalu terburu-buru sewaktu membuat keputusan untuk berkahwin, malah restu anak-anaknya juga penting.

“Dua kali gagal dalam perkahwinan, apa yang saya belajar adalah untuk bercinta terlebih dahulu. Saya akui terlalu terburu-buru sewaktu membuat keputusan untuk berkahwin.

“Anak-anak juga perlu merestui kerana itu yang paling penting. Dalam perhubungan ini sebenarnya anak adalah keutamaan kita. Kalau pasangan itu dapat menerima anak-anak saya dengan baik, insya-Allah saya okay sahaja.

“Saya tidak kata bekas isteri tidak dapat menerima anak-anak saya, tetapi biasalah, anak saya tiga orang. Masing-masing ada perangai sendiri,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebelum berkahwin dengan Suriani pada 20 November 2020, Cat pernah mendirikan rumah tangga bersama Hartiny Ramli namun bercerai dengannya pada April 2016.

Cat turut mempunya tiga orang anak hasil perkahwinannya dengan Hartiny iaitu Nia Karlyssa, 16; Latheefa, 13; dan Qul Iskandar, 12.

Author

Pilihan Editor