CYBERJAYA: Pempengaruh TikTok, Ubai mengakui sedang mengenali hati budi penyanyi popular, Shila Amzah.
Menurut Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, Shila, mempunyai ciri-ciri wanita idaman yang diimpikannya.
Menurut Ubai, dia sudah mengenali penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu itu sejak tahun 2011 dan semakin akrab sekitar 2014.
“Ya, saya sedang berkawan rapat dengan Shila. Kami serasi dan memahami antara satu sama lain. Kami mula rapat selepas sering bertemu untuk bermain badminton.
“Shila ada ciri-ciri wanita idaman saya, bagi saya dia seorang yang rendah diri, adventurous dan mempunyai hobi sama dengan saya.
“Sampaikan citarasa makanan kami pun sama iaitu dua-dua pun tak makan taugeh. Saya selesa dengan Shila,” kata Ubai seperti dilapor Gempak baru-baru ini.
Mengulas lanjut berhubung status ibu tunggal yang dipegang Shila, Ubai berkata perihal itu bukanlah suatu perkara yang penting.
“Saya tak kisah berkawan dengan mana-mana wanita, asalkan dia memahami saya dan saya pun memahami keadaan dia.
“Buat masa sekarang saya masih belum ada perancangan kea rah perkahwinan kerana saya mahu memberikan kerjaya sebagai produser.
“Saya hanya mampu minta semua orang mendoakan yang baik-baik buat saya dan Shila,” ujarnya.
Untuk rekod, Shila, 33, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan perceraian pada Februari 2022.