JOHOR BAHRU: Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah pusat hiburan di Jalan Nusa Bestari 7/2, Taman Nusa Bestari, Skudai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin berkata, kejadian yang tular menerusi media sosial itu berlaku pada 4 pagi dan dipercayai berpunca daripada pergaduhan mulut ketika mereka sedang minum di pusat hiburan tersebut.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kedua-duanya berjaya diberkas di sekitar Larkin, di sini, kira-kira 12.10 tengah malam tadi.
“Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes pergaduhan dan mengatakan kejadian mula berlaku di dalam sebuah pusat hiburan.
“Kedua-duanya adalah kenalan dan pergaduhan berlarutan sehingga ke luar pusat hiburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pergaduhan itu turut melibatkan lima individu lain yang kini sedang dikesan.
“Polis menggesa orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenainya tampil memberikan keterangan,” katanya.
Rahmat berkata kedua-dua lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Sejak semalam tular video berdurasi tujuh saat di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu bergaduh dengan seorang daripadanya yang tidak memakai baju terbaring di tengah jalan. – BERNAMA