PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa bekas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Hisyam Teh Poh Teik “dipaksa” terus mewakili bekas perdana menteri itu dalam rayuan kes babitkan dana SRC International Sdn Bhd, walaupun peguam itu memohon untuk menarik diri.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa Hisyam telah memaklumkan kepada mahkamah pada 18 Ogos 2022 hasrat untuk menarik diri daripada prosiding rayuan SRC International, atas alasan tidak mempunyai waktu yang mencukupi untuk membuat persediaan.
Pada 26 Julai lepas Najib menamatkan dengan serta merta perkhidmatan Messrs Shafee & Co daripada mewakili beliau dalam rayuan kes SRC itu, dan kemudiannya melantik Hisyam daripada Messrs Hisyam Teh sebagai peguam utamanya dan rakan kongsi ZIST, Liew and Rueben sebagai peguam cara baharu.
Hisyam sebelum itu telah memohon untuk menangguhkan kes berkenaan bagi tempoh tiga atau empat bulan untuk membolehkan beliau membuat persediaan kes itu, namun Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah menolak permohonannya.
Muhammad Shafee berkata susulan keputusan itu, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib, dan mahkamah turut menolak permohonan itu.
“Ia adalah representasi paksa oleh peguam yang tidak efektif, tidak bersedia. Ia representasi “berpura-pura”, diselia oleh Mahkamah Persekutuan. Hak ini adalah satu hak ilusi dalam kes ini,” katanya.
Shafee seterusnya berkata, keengganan untuk penangguhan itu menyebabkan Hisyam “terbelenggu” ketika mewakili Najib, kerana ia mengakibatkan beliau tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan.
“Kebebasan peribadi Najib menjadi pertaruhan, kerana dia berhadapan dengan hukuman penjara 12 tahun dan jumlah denda yang besar, belum pernah berlaku sebelum ini, sebanyak RM210 juta.
“Mahkamah juga tidak membenarkan permohonan anak guam saya untuk menangguhkan perbicaraan rayuan utama. Dalam beberapa kes orang lain sebelum ini, mahkamah membenarkan 70 kali penangguhan, tetapi mengapa anak guam saya tidak boleh mendapatkannya sekali?
“Kenapa tergesa-gesa? Adakah kerana Pilihan Raya Umum ke-15 hampir tiba? Tidak membenarkan penangguhan telah melanggar hak asasi,” kata Muhammad Shafee pada pendengaran permohonan Najib untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Beliau berhujah demikian di hadapan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim merangkumi Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Muhammad Shafee juga membuat kesimpulan bahawa Najib tidak diberikan perbicaraan yang adil semasa rayuan terakhir tahun lepas.
Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Perbicaraan rayuan Najib bersambung esok. – BERNAMA