BENTONG: Polis Bentong mengesahkan kejadian pergaduhan tercetus di daerah berkenaan susulan tular rakaman video pergaduhan di laman sosial Facebook milik ‘Aung Phyo Thu’ pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pergaduhan itu berlaku kira-kira jam 3 pagi pada 23 Januari lalu.
Katanya, mangsa seorang lelaki warganegara tempatan berusia 18 tahun yang merupakan seorang pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur.
“Mangsa telah membuat laporan polis kira-kira jam 4.13 petang pada 23 Januari lalu.
“Siasatan awal berdasarkan rakaman percakapan mangsa mendapati mangsa dan abang mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di hadapan pasar Bentong,” katanya seperti dilapor Sinar Harian pada Ahad.
Tambah beliau, susulan kejadian itu, dua lelaki warga tempatan berusia 21 dan 22 tahun ditahan kira-kira jam 3.45 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada 25 Januari lalu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.
“Pihak polis juga ingin turut merakamkan jutaan terima kasih kerana menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan,” ujarnya.