BANGI: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mendoakan kejayaan buat 403,637 pelajar yang mula menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 hari ini hingga 15 Mac.
“Selamat maju jaya kepada semua dan saya doakan kejayaan pelajar SPM. Fokus, dengar dan sabar,” itu antara nasihat Fadhlina untuk calon SPM ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi sempena hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2022, di sini hari ini.
Beliau berkata, lawatan itu adalah untuk memberi semangat kepada para pelajar SPM serta meninjau persiapan sekolah dan Lembaga Peperiksaan (LP).
Fadhlina berkata, anak perempuannya juga menduduki SPM dan sebagai ibu, beliau memastikan ada komunikasi setiap hari dengan anaknya serta memberi semangat kepadanya.
“Beliau (anak) sedikit sebak sebab tidak dapat bersama secara fizikal tetapi semangat dan doa itu sentiasa diberikan,” katanya.
Mengenai isu ujian mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan SPM 2022 yang dijalankan pada 16 Feb lepas, Fadhlina berkata LP telah memberi penjelasan bahawa proses merakam telah dilaksanakan lebih awal dan tidak timbul isu penggunaan pempengaruh TikTok dalam hal tersebut.
LP sebelum ini telah menafikan dakwaan menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara bagi UMBI SPM 2022 dan memaklumkan pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti serta mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris.
Isu UMBI SPM 2022 tular menerusi media sosial apabila sesetengah warganet mempersoal kredibiliti pelontar audio yang didakwa adalah pempengaruh TikTok manakala calon peperiksaan pula berdepan masalah ketika ujian kerana pertuturan individu terbabit tidak jelas dan laju.
“KPM (Kementerian Pendidikan) dan LP memastikan isu integriti berjalan dengan betul dan mengambil kira semua aspek kesahan, kesahihan dan kredibiliti untuk suara yang direkod itu,” kata Fadhlina.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM telah selesai menjalankan siasatan berhubung vandalisme yang berlaku di sebuah sekolah di Pulau Pinang pada 18 Feb lepas selepas pelajar dan ibu bapa terbabit dipanggil serta melakukan intervensi oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah.
Beliau berkata, kaunseling telah diberikan kepada pelajar terbabit dan KPM akan melihat hasil kaunseling untuk mengetahui punca pelajar tersebut bertindak sedemikian.
“Ini anak-anak kita, jangan kita putus asa. Ramai yang marah melihat (kejadian) itu tetapi mereka (pelajar) mesti diberi peluang didikan, teguran dan kaunseling berterusan. Isu ini harus ditangani bersama dan melakukan tugas sebagai ibu bapa, guru dan kaunselor untuk memastikan (pelajar) tidak ulangi perbuatan itu,” katanya. -BERNAMA