HomeSukanGempa bumi di Turkiye tidak jejaskan aksi Jelajah Pramusim KDA FC 

Gempa bumi di Turkiye tidak jejaskan aksi Jelajah Pramusim KDA FC 

 

ALOR SETAR: Kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Turkiye, awal pagi Isnin tidak akan menjejaskan aksi jelajah Pramusim 2023 pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Antalya, Turkiye.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, kejadian gempa bumi di Turkiye adalah di zon berbeza yang tidak melibatkan jadual pasukan sepanjang 10 hari berada di negara itu.

“Saya tahu, bencana di Turkiye itu menimbulkan kebimbangan semua pihak terutamanya kaum keluarga pemain dan penyokong di Malaysia tetapi kejadian itu berlaku berada di zon yang berbeza.

“Jadi, empat perlawanan persahabatan menentang empat kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine yang akan berlangsung di Limak Arcadia Sports Resort diteruskan seperti perancangan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang 10 hari berada di Antalya, pasukan itu akan mengadakan empat perlawanan persahabatan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari, FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Februari). -BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor