TIDAK dapat disangkalkan lagi bahawa nama kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dalam arena sukan semakin dikenali dunia.
Perihal ini kerana kejayaan demi kejayaan dilakar terus oleh pasukan terbabit yang nyata menjadi tumpuan para penyokong bola sepak di tanah air ini.
Menjelang saingan musim 2023, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkongsi visi dan misi skuad Harimau Selatan.
Menurut TMJ, pendekatan pasukan JDT pada kali ini berlainan kerana ‘no more story line’ baik di dalam mahupun luar padang.
“Hanya orang yang tidak berakal sahaja yang menafikan dan tidak boleh menerima fakta iaitu kami adalah peneraju bola sepak tanah air.
“Pada era yang baharu ini, pendekatan kami lain. Di dalam dan di luar padang. ‘No more story line’.
“Semua benda yang kami akan lakukan dengan pendekatan lebih ‘short, sharp, simple, and class’ tahun ini adalah tahun di mana kami akan ‘elevate the game’,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab JDT.
Untuk rekod, skuad Harimau Selatan akan memulakan kempen musim 2023 dengan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari ini.