HomeBeritaSukarnya nak dapatkan Menu Rahmah

Sukarnya nak dapatkan Menu Rahmah

KERAJAAN telah mengumumkan sebanyak 15,000 restoran daripada tujuh persatuan yang menyatakan kesediaan untuk menyediakan Menu Rahmah RM5 bagi mengurangkan beban rakyat.

Bagaimanapun realitinya tidak boleh pukul rata semua ahli persatuan restoran mampu mendapat bahan mentah yang murah untuk dijual sebagai hidangan Menu Rahmah.

Dengan kata lain, walaupun sudah diumumkan berbelas ribu tetapi sebenarnya berapa banyak pengusaha restoran yang benar-benar bersedia?

Tinjauan wartawan MEDIA VARIASI di pekan Kajang, pekan Bangi, Semenyih, Cheras, Sg Merab gagal menemui restoran yang jual Menu Rahmah termasuk di Mydin Kajang.

Apabila penulis bertanya dengan pihak kaunter Mydin di mana boleh dapat Menu Rahmah, petugas itu menjawab, “hanya di Mydin Selayang sahaja kerana ia paling besar”.

Jawapan itu agak mengecewakan bagi rakyat sekitar Kajang dan Bangi.

Namun untuk rekod, Mydin Subang sebenarnya ada menawarkan Menu Rahmah yang dilancarkan di situ pada 31 Januari lalu.

Bagi penduduk di Cyberjaya hanya pusat TSI Sports Arena yang menyediakan sediakan Menu Rahmah.

Bukan dekat dan bukan mudah untuk golongan B40 ke kawasan-kawasan itu semata-mata hendak dapat makan RM5.

Kenapa jadi begitu? Ia berlaku kerana pengusaha makanan tidak mampu untuk menyediakan hidangan dengan kos bahan mentah masih tinggi.

Pihak kementerian seharusnya menyiapkan segala pelan bermula daripada bahan mentah yang murah terus kepada dapur peniaga bagi melengkapkan Menu Rahmah sewajarnya sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Menu Rahmah ini sama konsepnya seperti Nasi Bajet yang diperkenalkan tahun 2016 oleh Datuk Seri Najib Razak,  Nasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 2021 oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rakyat tidak seharusnya menerima pengumuman-pengumuman kosong dan mengecewakan harapan mereka sebagaimana dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Lebih elok jika dipastikan harga kos bahan mentah turun kerana pastinya lebih banyak restoran akan menawarkan hidangan murah walaupun bukan nama Rahmah.

Berbalik kepada jumlah 15,000 restoran tadi diharapkan pihak kementerian segera mengeluarkan senarai dan nama restoran ikut pecahan daerah dan negeri bagi memudahkan golongan sasar mencari restoran-restoran yang menyediakan Menu Rahmah.

 

Author

Pilihan Editor