Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak dengan 4,230 mangsa daripada 1,240 keluarga yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berbanding 1,360 orang daripada 353 keluarga malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 4,120 mangsa di 19 PPS manakala baki 110 mangsa berada di empat PPS di Pekan.
Laman web rasmi Jabatan Saliran dan Pengairan iaitu publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan masih melebihi paras bahaya 5 meter yang ditetapkan dengan bacaan 5.94m pagi ini, namun menurun daripada 6.17m yang direkodkan malam tadi.
Turut direkodkan melebihi paras bahaya pada pagi ini ialah Sungai Keratong di Rompin iaitu 23.72m, berbanding 23.42m pada malam tadi.
Jabatan Meteorologi meramalkan Kuantan dan Pekan akan mengalami hujan pada hari ini. – BERNAMA