BANGKOK: Lawatan rasmi sulung dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand bermula Khamis membantu membaharui semula tekad untuk menyelesaikan pergolakan di selatan Thailand dan krisis Myanmar.
Konflik selama beberapa dekad di selatan Thailand dan krisis di Myanmar sejak rampasan kuasa 1 Februari 2021 yang menghambat keamanan di rantau berkenaan menjadi topik utama perbincangan semasa lawatan Anwar itu.
Anwar dan rakan sejawatannya, Prayuth Chan o-cha meluangkan banyak masa membincangkan isu selatan Thailand semasa mesyuarat dua hala mereka di Rumah Kerajaan pada Khamis.
Mengakui konflik itu adalah isu dalaman Thailand, Anwar berkata, sebagai ‘jiran dan keluarga yang baik’ Malaysia bersedia melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memudahkan proses perdamaian di selatan Thailand.
Anwar, yang sememangnya secara peribadi dikenali ramai di selatan, berikar untuk “melakukan apa sahaja yang diperlukan” bagi memudahkan proses damai dan mengulangi bahawa Malaysia tidak akan membenarkan keganasan bagi menyelesaikan sebarang konflik di selatan Thailand.
Prayuth turut menunjukkan kesanggupan dan komitmennya untuk membantu usaha mewujudkan keamanan di rantau ini.
Malaysia merupakan fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun di selatan Thailand.
Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai ketua fasilitator Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Dalam ucapan beliau ketika bertemu dengan beberapa pemimpin kaum Muslim dan komuniti tempatan selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand, Anwar mengulangi pendirian Malaysia untuk memainkan peranan dalam proses rundingan damai.
Naib Presiden Yayasan Pusat Islam Thailand, Prof Dr Jaran Maluleem berkata, Anwar adalah antara pemikir Islam yang berpandangan jauh.
“Bagi orang muslim di Thailand, tiada siapa yang tidak mengenali Anwar terutamanya golongan muda dan kontemporari serta mereka yang bekerja dalam pertubuhan Muslim,” katanya dalam acara di Pusat Islam Thailand.
Mengenai konflik di Myanmar, Anwar berkata, buat masa ini ASEAN perlu ‘carve’ Myanmar dan meneruskannya.
“Saya tidak fikir isu Myanmar akan menggagalkan langkah (ASEAN) kita. Alangkah baiknya jika kita mempunyai konsensus yang kukuh untuk menghantar mesej yang kuat kepada rejim Myanmar.
“Anda (Myanmar) mempunyai hak untuk mempunyai dasar dan keutamaan domestik anda sendiri, tetapi tiada negara pada masa ini harus meneruskan dasar diskriminasi, meminggirkan rakyat mereka, menakutkan atau lebih dahsyat lagi melakukan keganasan terhadap rakyatnya sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucap tama beliau pada syarahan “Future of ASEAN” pada Jumaat.
Semasa pertemuan dua hala dengan Prayuth, beliau berkata, ASEAN harus mengambil usaha yang koheren dan bersepadu sebagai badan serantau dalam menyelesaikan krisis Rohingya di Myanmar.
“Saya merayu kepada perdana menteri (Prayuth), walaupun Thailand mempunyai isu mereka sendiri berhubung sempadan. Kita menghadapi masalah yang sama.
“Ada 200,000 pelarian (di Malaysia) dan amat sedikit yang boleh kami lakukan, kecuali meneruskan apa yang dipanggil penglibatan konstruktif dengan junta Myanmar.
Sementara itu, Anwar turut menyentuh mengenai kerjasama Malaysia dengan Thailand dalam keselamatan makanan, teknologi maklumat, pengangkutan, ekonomi digital dan tenaga.
Semasa lawatannya, beliau turut menyaksikan pertukaran empat memorandum persefahaman (MoU) antara pemain industri Malaysia dan agensi serta syarikat Thailand untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital.
Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC), Dr Hwee Khim Boo berharap lawatan Anwar akan membantu menarik perniagaan Thailand untuk melabur di Malaysia.
“Perdana menteri telah menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dan bukan bersaing.
“Sektor yang boleh diterokai oleh Malaysia dan Thailand ialah ekonomi digital dan tenaga hijau seperti Bio-Circular-Green Economy,” katanya.
Dalam hantaran di Facebooknya Anwar berkata, lawatan sulung ke Thailand itu satu kejayaan yang besar. – BERNAMA