KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang komando Lans Koperal Edrin Baintim yang lemas ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Undan, Melaka, 7 Februari lepas.
Menerusi hantaran akaun Facebooknya, Mohamad berkata, pemergian Edrin kehilangan besar buat negara.
“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga mendiang Edrin. Kehilangan mendiang bukan sahaja amat dirasai oleh keluarga tetapi seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia, malah ia suatu kehilangan yang besar buat negara.
“Semoga keluarga mendiang bersabar dan tabah menghadapi suasana sedih ini,” katanya yang turut merakamkan ucapan yang sama semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Mohamad juga mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan mencari dan menyelamat yang terlibat dalam usaha pencarian Edrin terutama Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Pada 7 Feb lepas, Edrin, 25, yang merupakan anggota Tentera Darat daripada Grup Gerak Khas (GGK), dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Mendiang dikatakan hilang ketika latihan eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) Sungai Udang, Melaka sebelum mayatnya ditemukan orang ramai dalam keadaan terdampar dan lengkap berpakaian sut penyelam di pantai bakau Tanjung Sepat, Selangor, 10.15 pagi semalam. – BERNAMA