HomeBeritaMenu Rahmah akan wujudkan budaya bidang ekonomi sukarela

Menu Rahmah akan wujudkan budaya bidang ekonomi sukarela

CYBERJAYA: Pengenalan Menu Rahmah di Malaysia akan mengubah paradigma ekonomi negara, kata Pakar Ekonomi, Professor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Profesor dan Pengarah Program ‘MBA in Global Islamic Finance’ Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) itu berkata, pengenalan Menu Rahmah menerima sambutan yang tidak disangkakan daripada 15,000 peniaga.

Professor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

“Ini merupakan sesuatu yang tidak disangkakan, 15,000 peniaga menyambutnya dalam masa beberapa hari sahaja, dan saya rasa dalam masa sebulan, semua peniaga di Malaysia akan melakukannya termasuklah restoran makanan segera di Malaysia.

“Kalau ini dapat berlaku, apa yang akan terjadi sebenarnya ialah kita sudah membuat perubahan baharu dalam paradigma ekonomi, maksudnya peniaga sekarang sudah memikirkan bahawa memberi sumbangan kepada pengguna amat penting dan pengguna juga akan merasakan rupanya peniaga mempunyai sikap yang ikhlas, positif ingin menyumbang,” katanya kepada MEDIA VARIASI pada Sabtu.

Beliau ketika dihubungi, mengulas bahawa, jika Menu Rahmah dilanjutkan dalam jangka masa panjang, kita boleh melihat lebih banyak kelahiran konsep ‘reserve purchase’ atau pun pembelian simpanan.

“Ini sebenarnya dilakukan di banyak negara termasuk negara maju. Negara seperti Turki ada ‘reserve purchase’ untuk roti atau pun naan, di Pakistan ada ‘reserve purchase’ untuk teh tarik, di Kanada dan sebahagian kawasan di Amerika Syarikat (AS) ada ‘reserve coffee’.

“Maknanya apa yang berlaku ialah apabila pelanggan datang membeli roti misalnya di Turki, dia beli roti lima keping untuk lima dolar contohnya, dia bagi 10 dolar, lima dolar lagi dia simpan sebagai ‘reserve purchase’, kemudian penjual itu dia ambil lima kepig roti dia letak di tempat jualnya dengan tulisan ‘reserve purchase’.

“Jadi apabila pelanggan datang dan tidak mampu untuk membeli dan tidak ada duit, tetapi dia nak makan roti jadi dia tanya ada tak orang ‘reserve’ roti, jadi penjual akan ambil ‘reserve’ roti dan bagi kepada dia,” jelasnya memberi contoh.

Menurutnya, beliau sudah dapat membayangkan wujudnya konsep ‘reserve purchase’ dalam Menu Rahmah di mana seseorang membayarkan terlebih dahulu untuk orang lain.

Katanya, di tempatnya, Bangi sudah ada konsep tersebut diamalkan sesetengah peniaga gerai makanan di kawasan pasar Bangi.

“Jadi, konsep macam itu akan mewujudkan satu budaya baharu dalam ekonomi kita, ini dipanggil budaya ekonomi sukarela atau pun dipanggil ‘voluntary sector economy’.

“Sebenarnya Malaysia dan Indonesia misalnya, di dalam ‘rating’ indeks kebahagiaan adalah negara yang bermurah hati. Indonesia nombor satu dalam dunia dari segi murah hati, Malaysia nombor tujuh.

“Kalau ini diteruskan, saya rasa dalam masa setahun kita akan naik rangking kita menjadi negara yang paling murah hati di dunia,” ujarnya lagi.

Author

Pilihan Editor