HomeBeritaMahkamah & JenayahLelaki Bangladesh disyaki langgar lari penunggang motosikal giat diburu polis

Lelaki Bangladesh disyaki langgar lari penunggang motosikal giat diburu polis

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki warga Bangladesh disyaki melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan Teluk Piah Kanan pada Khamis lalu, giat diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian tersebut membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Waja dan Honda EX5.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi dan mangsa iaitu penunggang motosikal tersebut ialah lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang bersendirian dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Bukit Rotan.

“Tiba di lokasi, Proton Waja yang datang dari arah belakang melanggar motosikal itu menyebabkan mangsa tercampak.

“Pemandu kereta kemudian dipercayai keluar dari kenderaannya dan bertindak melarikan diri,” katanya, lapor Harian Metro pada Sabtu.

Jelas Ramli, mangsa yang cedera parah itu dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun dia disahkan meninggal dunia di wad kecemasan jam 11 pagi hari sama.

“Susulan kemalangan itu, polis mempergiat usaha pencarian suspek di sekitar Kuala Selangor dan Jeram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berhampiran.

Author

Pilihan Editor