KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan kepada pemain industri untuk meneruskan pelaksanaan Menu Rahmah tanpa ada had masa, yang penting rakyat negara ini tidak kelaparan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kementeriannya juga tidak menjadikan tempoh tiga bulan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) berikutan sehingga sekarang pihak industri melaksanakan inisiatif Menu Rahmah secara sukarela.
Mereka (industri) bebas melaksanakan Menu Rahmah sehingga bila dan itu terpulang kepada mereka kerana pelaksanaan itu tidak menggunakan dana kerajaan.
“Setakat ini, tiada jangka masa ditetapkan, selagi pihak industri menganggap kebajikan sesuatu yang perlu diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir membuat tinjauan Menu Rahmah di sebuah restoran nasi kandar di Cheras di sini, hari ini.
Sebelum ini Salahuddin sudah memulakan program Jelajah Menu Rahmah ke negeri-negeri dengan pelancarannya berlangsung di Johor pada 9 Februari lalu.
Program jelajah seterusnya akan diadakan di Perlis, esok.
Salahuddin berkata, KPDN juga mengalu-alukan pengusaha restoran untuk mendaftar Menu Rahmah di pejabat KPDN negeri untuk membantu mempromosikan restoran itu.
Menu Rahmah adalah hidangan tengah hari atau malam yang seimbang dan merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran pada harga sangat berpatutan iaitu pada harga RM5 sepinggan.
Beliau berkata, kerajaan khususnya KPDN akan terus mengambil pendekatan terbaik supaya tiada rakyat dalam negara ini kelaparan.