HomeBeritaMUDA terkilan tak dijemput ke Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan

MUDA terkilan tak dijemput ke Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan

CYBERJAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menzahirkan rasa terkilannya kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn yang berlangsung pada Selasa lalu.

Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi menyatakan pihaknya tidak menerima sebarang jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau email.

“Saya Setiausaha Agung parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya. Tidak ada surat, mesej, email yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter.

Ketidakundangan itu nyata menimbulkan tanda tanya kerana seperti diketahui MUDA turut menyokong Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, ramai juga yang ingin mengetahui jawapan tentang perkara itu kerana mustahil mereka yang terlibat tentang jemputan terlepas pandang kerana jika dilihat logo Sekretariat Kerajaan Perpaduan turut mengandungi logo Muda dan perlunya parti itu berada dalam mesyuarat, lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Amir berharap pihak berkaitan dapat memberi taklimat ringkas kepada MUDA bagi membolehkan partinya yang kini menjadi sebahagian kerajaan mengetahui perkembangan hasil dari mesyuarat berkenaan.

Untuk rekod, mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Februari lalu dihadiri semua pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Author

Pilihan Editor