HomeMV+EksklusifPerintah JTK tak laku, majikan tak bayar gaji

Perintah JTK tak laku, majikan tak bayar gaji

PUTRAJAYA: Seorang bekas pekerja syarikat penyedia satelit dan TV berbayar, Smart Digital International di Cyberjaya gagal menerima tuntutan baki bayaran gajinya walaupun sudah menerima perintah daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Perintah pematuhan oleh Ketua Pengarah JTK pada 26 Oktober 2022 setelah turun naik mahkamah JTK sejak 5 April 2022 nampaknya tidak memberi hasil.

Bekas eksekutif jualan syarikat berkenaan, Muhammad Faizi Abdul Hamid, meluahkan rasa kecewa dengan undang-undang pekerja yang sedia ada dilihat kurang ‘taring’ untuk memastikan majikan tidak terlepas daripada tanggungjawab mereka.

“Syarikat berkenaan kini tidak beroperasi tetapi perkhidmatan mereka masih diteruskan oleh pengurusan sama dibawah anak syarikat, Sirius T & E.

“Malah syarikat berkenaan dilaporkan di media bekerjasama dengan Nusa Kapital dan juga menerima geran daripada kerajaan sebanyak RM50 juta pada November tahun lalu.

“Dengan peruntukan sebanyak itu sewajarnya tiada masalah untuk menjelaskan tuntutan gaji kira-kira 50 bekas pekerja yang lebih dua bulan tertunggak,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Terdahulu, Muhammad Faizi, bekas eksekutif pemasaran di syarikat sama, Muhammad Zareef Zaharidan, Auni Farhana Abdul Rahim, Hanna Norhisam, Mohd Aiman Afif Mohd Fadzil dan Syahirul Haiqal Ashahakim membuat aduan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Faizi menceritakan dia mula bekerja di syarikat Smart Digital International pada Januari 2021 tetapi masalah mula timbul pada tahun lalu apabila majikan gagal membayar gaji.

“Dua laporan JTK yang lain juga tidak memberi kesan apa apa pada bekas majikan sedangkan ketiga tiga kes telah menang dan layak menerima hak mereka sebagai pekerja.

“Kira-kira 50 pekerja terjejas dan masing-masing membuat aduan di JTK.

“Selepas lebih daripada tiga perbicaraan kes saya dan rakan sekerja menang namun perintah tersebut tidak beri hasil apabila majikan enggan membayarnya,” katanya.

Tambahnya lagi, modus operandi syarikat apabila gagal menguruskan kewangan akan menutup operasi tetapi membuka anak-anak syarikat diurus oleh individu sama.

Isu ini pernah disuarakan Pengerusi Biro Buruh DAP, A Sivanesan yang menggesa pihak polis menyiasat majikan-majikan yang tidak membayar gaji kepada pekerja.

Ini kerana kuasa JTK dalam kes-kes sebegini sangat terhad bawah Akta Pekerjaan 1955.

Jika majikan tidak membayar gaji pekerja selepas 7 hari bulan setiap bulan dan menyimpan gaji tersebut, ia boleh diklasifikasi sebagai pecah amanah dan jenayah.

Pihak polis boleh menyiasat kes sebegini mengikut seksyen 405 Kanun Keseksaan bagi tuduhan pecah amanah dan seksyen 107 kanun aturan jenayah.

Pada tahun 2019, Kementerian Sumber Manusia mengarahkan Utusan Melayu Malaysia Berhad melunaskan semua bayaran tertunggak kepada bekas kakitangannya yang ditamatkan perkhidmatan serta mereka yang diberhentikan secara sukarela (VSS) akhir tahun 2018, namun sehingga ke hari ini pampasan belum dilunaskan kepada hampir 800 pekerja.

Author

Pilihan Editor