PETALING JAYA: Penyanyi balada terkenal, Nora Ariffin terbuka hati berkolaborasi dengan kumpulan nasyid wanita popular dari seberang, Al-Jawaher.
Jika diberi peluang, Nora mahu mengambil kesempatan itu kerana mahu memperjuangkan muzik secara universal.
“Kalau saya diberi peluang saya berbesar hati dan ia satu penghormatan kalau dapat berkolaborasi (dengan Al-Jawaher).
“Sebab kita bergabung dengan orang lama, orang lama bergabung dengan lagi lama, orang baharu dengan orang lama.
“Lagipun, saya sebenarnya dah banyak lagu kerohanian, berunsur nasihat, dengan lagu Al-Jawaher hari ini, dengan melodi dan susunan baharu, kita dengar macam segar, bagus untuk didengar,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Single Al-Jawaher, ‘Bring Me Close To You’, lagu yang digubah Yazri Malik yang bakal didengar secara strim pada 17 Februari nanti.
Single terbaru Al-Jawaher ini merupakan initiatif secara tidak langsung dari Jamiyah Singapura bagi menyebarkan dakwah dan nasihat melalui seni muzik.
Ini merupakan kerjasama bersama Impact Music & Entertainment untuk ke persada pasaran antarabangsa.
Majlis dirasmikan oleh Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tun Mohd Ali Mohd Rustam. Turut hadir, Presiden Jamiyah Singapura, Prof Adjunct Datuk Dr Mohd Hasbi dan Pengarah Strategi Marcom Jamiyah, Suhaimi Yusof.
Pelantun lagu Hanyalah Satu, itu juga berkata, dia juga dibesarkan dengan lagu-lagu asal Al-Jawaher, dan ia menggamit kembali kenangan dahulu jika diulang semula masa kini.
Al-Jawaher dikenali dalam kalangan pencinta muzik kerohanian dengan sentuhan pop kontemporari.
Lagu-lagu kemanusiaan dan ketuhanan seperti Perjalanan dan Mohon Padanya Sujud Padanya juga cukup popular di corong radio.
Anggota-anggotanya yang aktif adalah Norhaiyati Yusof selaku penyelaras kumpulan, Siti Hajar dan Normala (adik-adik M Nasir), Siti Rusminah iaitu ibu kepada penyanyi Didicazli dan Habibah yang kini menetap di Johor.