KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pisang, Batu 12, Gombak, di sini, Ahad lepas, kini diperluaskan kepada radius lapan kilometer.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bomba kini memfokuskan pencarian ke tempat takungan air berkumpul dari lokasi kejadian.
“Operasi SAR hari ini bagi mencari mangsa disertai 15 anggota bomba dan bermula pada 8 pagi tadi, kami mengharapkan agar mangsa segera ditemukan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ahad lepas, seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Batu 12, Sungai Pisang di Gombak di sini, manakala rakannya terselamat.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati laluan orang awam ke Sungai Pisang untuk beriadah ditutup dan dikawal ketat pihak polis, susulan operasi SAR berkenaan. – BERNAMA