DUANGPHET Promthep, 17, merupakan salah seorang ahli pasukan bola sepak Wild Boars yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang di Thailand pada 2018 dilaporkan meninggal dunia di United Kingdom.
Lima tahun lalu, Duangphet Promthep terselamat daripada kejadian mengerikan apabila dia dan rakan-rakannya yang lain terperangkap di bawah batu dan dalam kegelapan Gua Tham Luang.
Kapten pasukan bola sepak berusia 13 tahun itu terperangkap di dalam gua bersama-sama rakannya selama 17 hari sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat setelah gua itu dipenuhi air dan menjadi berita yang mengejutkan dunia.Â
Duangphet Promthep berpindah ke England tahun lalu selepas setelah mendapat biasiswa ke akademi bola sepak yang menjanjikan program di peringkat tertinggi.
“Saya berjanji saya akan fokus dan melakukan yang terbaik,” tulis Duangphet Promthep di media sosial ketika memuat naik gambar kelas dan kawasan sekolahnya sebelum ini.
Duangphet Promthep dilaporkan meninggal dunia pada hari Selasa oleh keluarganya. Punca kematian tidak dimaklumkan tetapi ada yang menyatakan Duangphet meninggal dunia berpunca daripada kecederaan di kepala akibat kemalangan.
Namun begitu, Kiatisuk Senamuang, pengasas Yayasan Zico, sebuah yayasan yang menaja pengajiannya di UK ini memberitahu pemberita hari ini bahawa seorang guru mendapati pelajar itu tidak sedarkan diri di bilik asramanya pada petang Ahad. Dia meninggal dunia di hospital selepas mendapatkan rawatan.