SHAH ALAM: Rupanya inilah rahsia tujuh jelitawan terhangat dan ‘super gorgeous’ tanah air menganggotai Celepets, kerana masih kekal bersahabat sejak 15 tahun lalu.
Celepets atau ‘Celebrating Pet Project Together’, dianggotai barisan selebriti jelita penyampai radio, pelakon, pengacara, penyanyi, iaitu Sazzy Falak, Yasmin Hani, Dynas Mokhtar, Serena C, Aishah Sinclair, Daphne Iking dan Atilia Haron.
Menariknya, Celepets bukan bersandarkan wajah cantik semata-mata, tetapi bersatu hati dalam memberi komitmen menyokong minat mendalam masing-masing terhadap aktiviti amal dan kempen kesedaran, beramal sambil berhibur.
Setiap program yang dianjurkan oleh setiap seorang mereka, pasti akan diberikan sokongan 100 peratus, malah mereka pernah meluangkan masa bersama membintangi video muzik nyanyian Atilia Haron berjudul Aku Curiga.
Pelakon dan pengacara, Daphne Iking, mendedahkan rahsia persahabatan Celepets yang sebenarnya usia hampir mencecah dua dekat selama ini kerana kuncinya adalah komunikasi berkesan.
“Kita sebenarnya ada juga ahli tambahan terhormat seperti Ning Baizura, Yasmin Yusof, Hunny Madu.
“Kita semua ada projek masing-masing yang kita minat, macam saya selalu tekankan ‘statelesness’ (individu tanpa kerakyatan), ibu tunggal, yang lain ada yang suka berkempen untuk kanak-kanak, macam Aishah sangat cintakan alam.
“Jadi, persahabatan kami ini memberi kelebihan sebagai platform untuk mewujudkan kempen kesedaran bersama, ‘we can create bigger impact’,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Daphne berkata demikian pada Majlis Pelancaran Produk Baharu Wellsen X Dynas yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif WeGlobe Marketing Sdn Bhd, Seng Sin Mon, di Wanra Cafe, Bukit Jelutong, di sini.
Celepets juga tidak melepaskan peluang untuk hadir memberi sokongan terhadap projek pelancaran itu bersama.
Bekas ratu cantik itu juga, bagaimanapun tidak menafikan wujud konflik antara anggota Celepets, namun perkara itu boleh ditangani dengan baik antara mereka.
“Apa apa perkara yang ada antara kami rasa tidak kena, kami terus suarakan, agak garang juga, tetapi masih kekal utuh saling berhubungan sesama kami, walaupun melalui peralihan platform daripada Blackberry, Whatsapp dan sekarang Telegram.
“Memanglah akan ada konflik idea, tetapi berbalik kepada kuncinya adalah komunikasi. Saya pun berharap persahabatan ini akan kekal sampai jannah,” katanya.
Model itu turut menyelitkan kisahnya sebagai seorang sahabat, walaupun sudah berkeluarga dan mempunyai jadual padat sehingga hampir tiada ruang rehat, dia masih komited untuk hadir menyokong majlis pelancaran Dynas.
“Saya bangga melihat pencapaian Dynas sekarang, dia lah orang pertama dalam Celepets yang saya kenal suatu masa dulu.
“Walaupun saya baru balik dari program tamat jam 1 petang, majlis pelancaran Dynas jam 3 petang pula, saya beritahu suami, kita jangan balik rumah, nanti saya tidur dan tak jadi datang, kita pusing-pusing tempat sampai jam 3, dan itu sebab saya ada di sini,” katanya.