KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan beberapa perkara penting dalam masa terdekat, termasuk membuka peluang untuk menjana pendapatan tambahan kepada lebih ramai golongan B40, sebagai alternatif supaya rakyat tidak perlu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pada masa yang sama kerajaan juga mula melihat kepada dasar-dasar dan program-program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sedang berlangsung.
“Ini kerana kerajaan mesti ada kerangka dasar yang jelas untuk tempoh dua hingga lima tahun akan datang bagi memastikan kenaikan gaji itu tidak diserahkan semata-mata kepada pasaran, dan semua perkara-perkara ini berbentuk jangka masa sederhana dan panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas Sesi Kick-Off Dialog Strategik Yang Berhormat Menteri Ekonomi: Permerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat hari ini.
Menurutnya, perkara ini menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia ada sedikit simpanan di hari tua nanti di mana tumpuan akan diberikan dari segi bantuan serta dasar yang melibatkan kos sara hidup dan pendapatan.
“Kita perlu berhati-hati dengan pengeluaran KWSP, walaupun saya faham untuk sesetengah keluarga itu dapat membantu buat masa sekarang, tetapi kos yang terpaksa dibayar oleh mereka di kemudian hari adalah tinggi,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang menghadapi masalah kewangan tanpa perlu mengeluarkan simpanan KWSP.
Sementara itu, Rafizi berkata kesan kenaikan kos sara hidup juga dapat ditangani dengan lebih baik oleh isi rumah sekiranya program subsidi bersasar berjaya diberikan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukannya.
“Proses membuat keputusan untuk penentuan kelayakan secara menyeluruh sedang berjalan dan ini adalah satu keputusan yang paling besar dalam ekonomi negara.. kita mesti berkeupayaan menentukan pendapatan isi rumah dan bilangan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata, platform Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan ditambah baik dengan harapan menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan pasaran mesra perniagaan yang lebih kompetetif.
“Platform itu akan dipengerusikan oleh saya dan juga Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali,” katanya. – BERNAMA