HomeBeritaKerugian RM157 juta: SPRM sahkan siasat UiTM Holdings

Kerugian RM157 juta: SPRM sahkan siasat UiTM Holdings

CYBERJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM157 juta pada UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, dalam siasatan berkenaan pihaknya akan memberi tumpuan kepada beberapa isu seperti dana dan pelaburan dibuat UiTM Holdings sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Menurutnya, pihaknya turut memfokuskan siasatan kepada kes yang disyaki membabitkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang dikatakan itu.

“Sekiranya berlakunya rasuah dan penyelewengan, maka ia tidak akan terlepas daripada siasatan SPRM.

“Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan membabitkan perbuatan jenayah. Ia juga membabitkan isu tata kelola dan pengurusan yang lemah,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Tambah beliau, kertas siasatan akan dibuka jika perkara itu berkaitan jenayah, khususnya rasuah.

Selasa lalu, media melaporkan ‘UiTM Holdings rugi RM157 juta’ dengan dakwaan jumlah itu adalah berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.

Malahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini turut dilaporkan berkata, isu ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta UiTM Holdings diserahkan kepada SPRM.

Untuk makluman, UiTM Holdings Sdn Bhd adalah syarikat pegangan pelaburan milik penuh universiti itu yang menguruskan lapan syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi, dan kreatif.

Author

Pilihan Editor