KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada Arab Saudi sempena sambutan Hari Penubuhan negara itu.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman sempena Hari Penubuhan kerajaan itu pada 22 Februari.
“Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberkati Yang Teramat Mulia dengan kesihatan yang berpanjangan serta mengurniakan keamanan, kemajuan dan kemakmuran yang berkekalan kepada Kerajaan Arab Saudi,” kata perdana menteri menerusi ciapan Twitter.
Anwar berkata, Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan persaudaraan dengan Kerajaan Arab Saudi ke tahap yang lebih tinggi, terutamanya dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan budaya serta meneroka bidang kerjasama baharu yang berpotensi.
Hari Penubuhan Arab Saudi disambut pada 22 Februari bagi memperingati penubuhan kerajaan itu pada 1727 oleh Imam Mohammed bin Saud dan diisytiharkan sebagai cuti umum tahun lepas. – BERNAMA