HomeBeritaRakyat Malaysia geram warga asing 'naik lemak', gesa PBT laksana pembersihan besar-besaran

Rakyat Malaysia geram warga asing ‘naik lemak’, gesa PBT laksana pembersihan besar-besaran

CYBERJAYA: Kedatangan warga asing di negara ini bukanlah suatu isu yang baharu dibangkitkan oleh masyarakat Malaysia.

Namun, tindakan warga asing yang dilihat semakin ‘berani’ bertindak seolah-olah memiliki kerakyatan di negara ini membuatkan rata-rata warga Malaysia naik berang.

Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti peniaga warga asing di sekitar luar Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur.

Menerusi serbuan itu, 10 tindakan sita dan pindah barangan telah dilakukan terhadap penjaja sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijalankan oleh warga negara Myanmar (etnik Rohinya) pemegang kad pelarian UNCHR (United Nations High Commissioner for Refugees).

“Tindakan sita dilakukan menerusi kesalahan menjalankan aktiviti penjajaan tanpa kebenaran dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016. DBKL turut mengeluarkan 14 notis kompaun pelbagai kesalahan terhadap kenderaan persendirian termasuk lori-lori pemborong yang membuat halangan lalulintas menerusi Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” maklum DBKL pada Isnin.

Menjengah di ruangan komen hantaran berkenaan, rata-rata warga Malaysia menzahirkan rasa geram dengan sikap warga asing yang semakin ‘naik lemak’ ini.

Malah, ada antara warga maya yang menyifatkan golongan terbabit amat degil dan berani bertindak meskipun pihak berkuasa kerap kali membuat serbuan.

Dalam pada itu, ada juga yang bersuara supaya pihak berkuasa dapat menjalankan operasi ‘pembersihan besar-besaran’ warga asing yang dilihat kini semakin meningkat naik.

Pada masa sama, rakyat Malaysia turut berharap pihak berkaitan kekal membanteras golongan tanpa izin ini dengan sekeras-kerasnya supaya tanah air ini kembali harmoni dan sejahtera.

Author

Pilihan Editor