KUALA LUMPUR: Aktres terkenal, Rozita Che Wan tidak bersetuju jika kesalahan curang yang berlaku hanya diajukan kepada penyondol semata-mata, malah melindungi kesalahan suami.
Rozita Che Wan atau dikenali Che Ta, 50, berpendapat dalam isu kecurangan, suami juga memilih untuk curang terhadap isteri.
“Saya tidak suka apabila lelaki ada hubungan dengan wanita lain, si isteri pula salahkan perempuan itu.
“Dalam hal ini, kedua-duanya salah. Suami mereka tidaklah baik sangat tetapi kenapa perlu terlalu marah kepada wanita tersebut?” katanya ketika ditemui pada majlis pelancancaran logo kedai emas, Angsa Emas Jewellery, di sini.
Dalam pada itu, tegas Che Ta tidak akan beri muka sekiranya suaminya, Zain Saidin yang curang.
“Kalau suami saya ada hubungan, saya tumbuk muka dia, bukannya tarik tudung perempuan itu.
“Suami yang gatal sebab jika kedua-duanya tidak sama naik, hubungan tersebut tidak akan menjadi.
“Jadi, kalau suami saya diganggu, saya akan marah Zain semula, bukannya naik hantu dengan perempuan itu,” katanya lagi.
Sementara itu, tidak bersetuju dengan tindakan kaum isteri yang suka berkongsi kemelut rumah tangga dalam media sosial.
Baginya, perkara tersebut diibaratkan membuka pekung di dada sendiri terutama perihal rumah tangga.
“Saya tidak bersetuju tentang aibkan suami dalam media sosial.
“Ibaratnya, tepuk air dalam dulang tetapi akhirnya tepercik pada muka sendiri.
“Lebih baik diam. Saya tabik dengan cara Mizz Nina, terus ke pejabat agama.
“Boleh jika nak lepaskan rasa marah, tulis semua dalam media sosial kemudian padam.
“Jika luahkan dan tuju kepada seseorang, belum tentu dia baca. Tanpa sedar, luahan yang dilakukan timbulkan fitnah kepada orang lain pula.
“Kalau marah suami, kenapa hendak beri 50 juta orang tengok, marahlah dia terus,” ujarnya lagi.
Antara rumah tangga selebriti tanah air yang menjadi tumpuan hangat ketika ini ialah Hafidz Roshdi, Puteri Sarah Liyana dengan Syamsul Yusof dan Bella Astillah bersama Aliff Aziz.