PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sepasang suami isteri semalam kerana disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran komisen program merekrut pelajar sekolah menengah untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta, berjumlah hampir RM2 juta.
Menurut sumber pasangan berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada kira-kira 11 pagi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.
“Suspek lelaki yang juga bekas pengurus pemasaran di universiti tersebut disyaki bersubahat dengan isterinya, seorang suri rumah, melakukan tuntutan palsu sekitar tahun 2015 hingga 2020,” katanya.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman terhadap lelaki berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari, manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA