HomeBeritaSyed Saddiq jijik guru guna agama diskriminasi murid dalam sukan

Syed Saddiq jijik guru guna agama diskriminasi murid dalam sukan

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berasa jijik dengan guru yang menggunakan agama untuk mendiskriminasi muridnya dalam sukan.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata demikian mengulas berita pasangan ibu bapa mendakwa anak mereka digalakkan untuk memeluk Islam bagi meningkatkan peluangnya menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

“Berita yang menjijikkan! Sampai hari ini masih ada lagi yang tak henti-henti mendiskriminasi agama dan kaum lain.

“Guru sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik untuk murid-murid. Bukan membezakan mereka hanya kerana berbeza kepercayaan. Bersukan adalah hak untuk semua!

“Tidak kira agama, kaum, ataupun sosioekonomi kelas mereka. Kalau anak-anak kita berpotensi tinggi, kita harus lebihkan latihan untuk mereka.

“Supaya mereka jadi wakil negara dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan ibu bapa tersebut mendedahkan perkara tersebut dalam sidang media pada Rabu dan telah membuat laporan polis mengenainya.

Mengulas lanjut, Saddiq berkata, negara sepatutnya melabur banyak lagi dalam sukan kerana bidang ini adalah salah satu yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia.

“Chong Wei menang di ‘All England Championship’, kita bersorak.
Pandelela menang Kejohanan Terjun Dunia, kita bersorak. Begitu juga apabila Azizul menang di Olimpik.

“Dua hari lepas, Boon Heong kongsikan aspirasi dia selepas bersara iaitu promosikan lagi sukan badminton kepada lebih ramai orang untuk belajar. Saya amat bersetuju dan menyokong visi beliau.

“Saya harap pihak berkaitan boleh melakukan siasatan kerana ini telah jelas melanggar Perlembagaan yang menjamin kebebasan hak agama untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk bekerjasama mewujudkan visi sukan di Malaysia di mana semua orang diberi peluang yang sama untuk cemerlang.

Author

Pilihan Editor