HomePendidikanNicol, NDO bantu penghidap Disleksia kuasai skuasy

Nicol, NDO bantu penghidap Disleksia kuasai skuasy

PUTRAJAYA: Pertubuhan Nicol David Organisation (NDO) tidak meminggirkan golongan penghidap Disleksia, yang mengikuti kelas akademik dan latihan sukan skuasy menerusi program kendaliannya.

Ini berikutan, Datuk Nicol Ann David bersama bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes selaku pengasas bersama NDO mengesan beberapa kanak-kanak sejak mengikuti program yayasan itu, menghidap Disleksia.

Prihatin dengan masalah pembelajaran penghidap Disleksia, Nicol berkata, pendidik NDO perlu memahami keperluan golongan itu dalam membantu meningkatkan pemahaman akademik mereka dengan kaedah berbeza dan berkesan.

“Kami dapati beberapa kanak-kanak dalam program ini, ada Disleksia, yang purata 10 peratus kanak-kanak Disleksia ada di sekolah, mana-mana pergi ada penghidap ini.

“Jadi, kami perlu memberi kesedaran terhadap guru di NDO supaya memahami cara kerja bila mengendalikan pelajar yang mempunyai masalah membaca seperti Disleksia, dan menyampaikan pengajaran dengan kaedah berbeza apabila melibatkan golongan ini,” katanya.

Nicol berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara beliau mewakili NDO dan Heriot-Watt University Malaysia, diwakili Provost dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Mushtak Al-Atabi.

Juara sukan skuasy lapan kali dunia itu berkata, objektif utama NDO bukan melahirkan seorang lagi jaguh skuasy dunia semata-mata, tetapi membentuk sahsiah diri dengan nilai murni supaya berguna kepada diri, ibu bapa dan masyarakat di kemudian hari.

“Di NDO, bukan setakat mengajar Bahasa Inggeris, tetapi mempelajari banyak nilai aspek kehidupan.

“Pengajaran paling berharga apabila, mereka mampu memahami nilai murni dan keyakinan, berdisiplin, kerja kuat.

“Menerusi sukan juga, kita dapat lihat perbezaan selepasnya, lebih bersemangat, tahu membahagi masa, melatih diri lebih teratur.

“Ia perkara yang indah bagi saya, apabila melihat mereka aktif membesar dalam tempoh sekurang-kurangnya bermula tujuh bulan program apatah lagi lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Mushtak berkata, pihak universiti merancang untuk menyediakan biasiswa khas dengan mengambil inspirasi nama Nicol sendiri, kepada pelajar cemerlang yang juga ahli sukan skuasy, yang ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana di universiti itu.

Katanya, pihak universiti akan menanggung kos sepanjang tempoh pengajian pelajar terbabit sepenuhnya.

“Kami sedia bekerjasama dengan NGO yang berminat untuk merealisasikannya, atau sesiapa sahaja yang mempunyai komitmen sama, boleh tampil kepada kami,” katanya yang turut dipersetujui Nicol.

Untuk rekod, NDO dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 2022.

NDO melatih kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun yang berminat untuk menceburi sukan berkenaan, selain mengadakan kelas bahasa Inggeris di beberapa sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.

Ibu bapa hanya perlu membayar serendah RM20 sebulan untuk mendaftarkan anak-anak mereka bagi menyertai program anjuran NDO.

Author

Pilihan Editor